Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis bekerjasama dengan Bank Negara bagi merungkai kes penipuan bank membabitkan wang berjumlah RM1.03 juta, pada 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya turut mendapat bekerjasama dengan bank tempat mangsa menyimpan wang bagi mengesan suspek.

Selain itu katanya, polis masih menyiasat akaun sebuah syarikat telekomunikasi yang digunakan suspek untuk memindahkan wang terbabit.

"Siasatan masih diteruskan dan polis bekerjasama rapat dengan Bank Negara untuk meneliti semua proses pemindahan wang itu.

"Kerjasama daripada institusi kewangan yang mana mangsa membuka akaun juga diyakini dapat membantu mengesan suspek sekali gus merungkai kes itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-216 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.

AHSMON ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 Peringkat IPD Kuching di Padang Kawad IPD Kuching. FOTO Nadim Bokhari
AHSMON ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 Peringkat IPD Kuching di Padang Kawad IPD Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Pada majlis yang berlangsung dalam hujan lebat di padang kawad IPD Kuching itu, Ahsmon membacakan perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Kes penipuan bank itu menimbulkan kegusaran orang ramai kerana ia membabitkan pemindahan wang dalam jumlah yang banyak pada satu masa.

Malah kes itu turut menimbulkan keraguan orang ramai terhadap keselamatan wang yang disimpan di dalam bank.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa yang juga seorang ahli perniagaan menjawab panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa bekerja di Pos Laju pada 26 Februari lalu yang meminta mangsa memberikan nombor OTP (nombor laluan sekali guna) yang dihantar ke telefon bimbitnya melalui SMS.

Selepas membuat panggilan itu, suspek memindahkan wang sebanyak RM1 juta daripada akaun simpanan mangsa dan RM30,000 daripada kad kreditnya.

Bagaimanapun, selepas mangsa melaporkannya kepada pihak bank dan membuat laporan polis, wang itu dikreditkan semula ke akaun miliknya selepas dipulangkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

Ahsmon berkata, walaupun wang berjumlah RM1.03 juta itu sudah dikembalikan ke akaun mangsa, namun siasatan berterusan dijalankan untuk mengesan pelaku dalam kes itu selain mengenal pasti akaun bank yang dibuat atas nama syarikat telekomunikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:51 PM