SUSPEK direman empat hari. FOTO ihsan polis
SUSPEK direman empat hari. FOTO ihsan polis
Melvin Joni


Kuching: Selepas beberapa hari diburu polis, lelaki yang dipercayai mencabul tiga wanita termasuk seorang pelajar sekolah berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan pada jam 5 pagi semalam di Lundu.

Beliau berkata, suspek dilaporkan mencabul dua wanita di Semariang Batu pada 12 April lalu.

Katanya, suspek sekali lagi dilaporkan mencabul remaja perempuan berusia 16 tahun pada 15 April lalu, ketika mangsa berjalan berseorangan untuk pulang ke rumah di Jalan Matang - Depo Link Kuching.

"Suspek yang menunggang motosikal berpura-pura hendak bertanyakan sesuatu kepada mangsa.

"Lelaki itu kemudian meraba mangsa sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata, dengan penangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes cabul.

"Suspek direman empat hari mulai hari ini sehingga 21 April.

"Dia ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 5:25 PM