Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada dua kereta dan sebuah rumah di Kampung Buntal, di sini, Ahad lalu.

Semua suspek berusia antara 23 hingga 32 tahun itu ditahan di sebuah premis perniagaan di Jalan Matang, di sini, jam 1.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, selain melakukan perbuatan khianat, suspek turut melakukan ugutan jenayah menerusi nota yang ditinggalkan di kediaman mangsa.

Beliau berkata, ia kejadian kedua terhadap mangsa selepas kali pertama suspek melakukan perbuatan sama, bulan lalu.

"Ahad lalu polis menerima laporan daripada mangsa apabila dua kereta serta pintu rumahnya disimbah cat merah.

"Berikutan itu, polis menubuhkan pasukan rempuh khas bagi menangani kes itu," katanya pada sidang media, hari ini.

ASHMON pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching. FOTO Nadim Bokhari
ASHMON pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Ahsmon berkata, pasukan berkenaan berjaya mengesan suspek semalam dan menyerbu premis syarikat pinjaman wang berlesen di Jalan Matang tempat mereka bekerja.

Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa barangan antaranya dua set komputer, fail, buku rekod, borang pinjaman dan empat telefon bimbit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Difahamkan, suspek melakukan ugutan jenayah dan khianat selepas mereka tidak berpuas hati apabila individu yang mereka cari tidak lagi tinggal di rumah berkenaan.

Individu itu dipercayai pernah berhutang dengan syarikat pinjaman wang dan ketiga-tiga suspek adalah ejen syarikat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 4:16 PM