Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis daerah ini merampas dadah bernilai RM1.04 juta hasil empat serbuan di sekitar Kuching dan Padawan pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah serta beberapa balai dalam IPD Kuching.

"Serbuan membabitkan sebuah inap desa, dua kereta masing-masing di tepi jalan berdepan Hotel Imperial serta Jalan Hup Kee dan sebuah kondominium di Jalan Lapangan Terbang.

"Dua suspek berusia 22 dan 24 tahun turut ditahan. Penahanan mereka membawa kepada penemuan dadah untuk pasaran Kuching serta lokasi berdekatan seperti Padawan," katanya pada sidang media di IPD Kuching hari ini.

Ahsmon berkata, dadah dirampas membabitkan 17,838 pil ekstasi bernilai RM378,150 serta Methamphetamine bernilai RM667,100.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah, mengadakan sidang media serta menunjukan barang rampasan kes dadah di bilik Mesyuarat JSJ, IPD Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah, mengadakan sidang media serta menunjukan barang rampasan kes dadah di bilik Mesyuarat JSJ, IPD Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

Turut dirampas, wang RM3,535, sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan sebuah Perodua Axia.

"Ia nilai rampasan dadah terbesar di Kuching tahun ini.

"Siasatan awal mendapati, dadah itu dibawa masuk ke negeri ini dengan menggunakan perkhidmatan kurier," katanya.

Menurut Ahsmon, kedua-dua suspek adalah ahli kepada satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak 2013.

"Mereka direkrut oleh sindiket itu. Mereka masing-masing memiliki satu dan dua rekod lampau berkaitan dadah.

"Dengan tertangkapnya dua suspek itu, kami yakin akan dapat menjejaki lebih ramai ahli sindiket terbabit," katanya.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau dua tahun penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 2:52 PM