Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis memburu 18 individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes penipuan e-dagang di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, semua suspek berusia antara 25 hingga 63 tahun itu sudah dikenal pasti dengan beberapa orang daripadanya kini berada di luar negara.

Menurutnya, semua suspek dikenal pasti terbabit dalam penipuan pembelian dalam talian menerusi pelbagai platform antaranya Facebook, Instagram, Michat, Wechat, Shopee, mudah.com, Carousell dan Lazada.

"Semua suspek itu dikenal pasti terbabit dalam penipuan e-dagang sejak 2019 hingga Jun tahun ini yang menyebabkan seramai 79 mangsa berusia antara 19 hingga 57 tahun kerugian berjumlah RM729,208.80.

"Pasukan Siasatan Khas kes penipuan itu sudah diaktifkan bagi mengesan mereka yang dikenal pasti," katanya pada sidang media, hari ini.

ASMON Bajah pada sidang media ‘Penipuan Pembelian E- Dagang' di Bilik Mesyuarat JSJ IPD Kuching.  FOTO Nadim Bokhari
ASMON Bajah pada sidang media ‘Penipuan Pembelian E- Dagang' di Bilik Mesyuarat JSJ IPD Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Ahsmon berkata, peningkatan ketara kes penipuan e-dagang direkodkan di bandar raya ini bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini apabila sebanyak 61 kes dengan kerugian bernilai RM403,386.80 dilaporkan.

Menurutnya, pada 2020 sebanyak 12 kes dilaporkan membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM88,542 manakala pada 2019, sebanyak enam kes dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM237,280.

"Kes penipuan e-dagang dikesan meningkat secara mendadak ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila pergerakan orang ramai adalah terhad dan mereka beralih kepada kaedah pembelian secara dalam talian.

"Mangsa kebiasaannya akan terpengaruh dengan tawaran produk yang lebih murah seperti yang diiklankan oleh penjual di media sosial dan ini menyebabkan mereka mudah terjerat," katanya.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan jenayah komersial termasuk penipuan e-dagang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 2:08 PM