FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norsyazwani Nasri


Kuching: Seorang lelaki kerugian RM807,623 selepas menjadi mangsa penipuan nombor ramalan dalam internet.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, mangsa membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching 30 September lalu.

"Mangsa melihat iklan nombor ramalan semasa melayari laman internet. kemudian berkenalan dengan seorang lelaki bernama Dr Benjamin yang mana lelaki terbabit memberi nombor ramalan dan meminta mangsa mencuba nombor itu dalam sebuah laman sosial.

"Mangsa kemudian dikatakan memenangi wang sebanyak USD360 juta dari nombor yang dibeli," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, syarikat berkenaan meminta mangsa menghubungi 'support poolmond.com' untuk menuntut hadiah yang dimenangi

"Mangsa diarahkan oleh ejen dari web itu untuk membuka akaun di Corniche Bank yang beralamat di United Kingdom bagi tujuan pemindahan wang kemenangan mangsa dalam akaun itu.

"Mangsa diarahkan untuk membayar wang proses dan membuat sebanyak 22 transaksi ke akaun bank komersil tempatan berjumlah RM392,300," katanya.

Katanya, mangsa juga membuat 18 transaksi lagi menggunakan perkhidmatan kiriman Wang keluar negara untuk dipindahkan ke bank luar negara berjumlah RM415,323.

"Jumlah kerugian mangsa adalah sebanyak RM807,623, dan mangsa menyedari ditipu selepas tiada wang kemenangan dimasukkan ke dalam akaun Corniche Bank yang dibukanya sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Ahsmon menasihatkan orang ramai supaya peka dan waspada sebelum membuat sebarang pindahan ke akaun pihak ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 6:43 PM