Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin 'ditegur' supaya menggunakan mahkamah jika ingin berhujah berhubung pendakwaan yang dihadapinya.

Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu mengikut proses yang betul dan tidak membuat sebarang tuduhan atau dakwaan di khalayak umum terutamanya berkaitan pendakwaan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Bagi pihak kerajaan semestinya kita ikut proses, SPRM dan Peguam Negara juga sudah menyatakan bahawa mereka bersifat 'independent' dan tidak ada arahan daripada sesiapa.

"Mereka melihat kepada fakta untuk bawa kes ke mahkamah jadi mungkin Tan Sri Muhyiddin perlu berhujah di mahkamah bukan berhujah di khalayak, kerana jika beliau menuduh sesiapa menyatakan mahu serang beliau, itu persepsi yang salah.

"Saya pohon Tan Sri Muhyiddin ikut proses dan hujah di mahkamah," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Johor di Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Taman Pelangi di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Muhyiddin perlu bersifat adil dalam soal pendakwaan itu memandangkan sebelum ini beliau tiada masalah dengan tindakan undang-undang terhadap parti politik lain.

"Sebelum ini, contohnya dalam isu pembekuan akaun, bila kena pada Umno, beliau (Muhyiddin) kata ikutlah (proses), jadi kali ini apabila kena pada Bersatu lain pula jadinya," katanya.

Semalam, Muhyiddin mendakwa pendakwaan oleh SPRM terhadap dirinya adalah satu bentuk pendakwaan terpilih.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin atau nama sebenarnya, Mahiaddin Md Yasin, 76, sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Selain itu, beliau menghadapi dua pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 7:03 PM