Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meninggalkan kompleks mahkamah selepas Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meninggalkan kompleks mahkamah selepas Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan yang pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan ke atas keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang melepas dan membebaskan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mengesahkan notis rayuan difailkan pada hari ini.

"Pihak pendakwaan juga ingin menjelaskan bahawa keputusan yang diputuskan (membatalkan pertuduhan) oleh mahkamah hari ini, hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM sahaja.

"Bagi tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 September 2023," katanya pada kenyataan hari ini.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan pertuduhan dihadapi Muhyiddin dibatalkan dan Ahli Parlimen Pagoh itu dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya mendapati, keempat-empat pertuduhan adalah cacat, tidak berasas dan kabur.

Beliau berpuas hati, pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.

Mahkamah berpendapat, jika perbicaraan diteruskan akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan sewajarnya dan menjadikan pendakwaan terhadapnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 76, didakwa di ibu negara atas enam pertuduhan iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu wang berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik Bersatu.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM1 juta daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd juga bagi milik parti itu.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19.5 juta daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12 juta bagi milik partinya daripada Datuk Azman Yusoff.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 2:34 PM