Suraya Ali dan Ilah Hafiz Aziz


Putrajaya: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak kemungkinan berlaku rusuhan oleh penyokongnya susulan tindakan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, PN dan Bersatu adalah parti yang aman dan penyokongnya sedar rusuhan bukan tindakan yang betul ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi.

"Ini bukan soal Muhyiddin, tetapi soal Bersatu dan PN. Mereka (penyokong) tahu bagaimana melindungi keselamatan dan ketenteraman rakyat," katanya yang ditemui selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, Muhyiddin berkata, perkara itu akan diputuskan selepas pendakwaan di mahkamah.

"Tunggulah, saya belum didakwa. Nanti kita akan buat keputusan dan kita akan umumkan," katanya.

Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM jam 11.15 pagi tadi untuk memberi keterangan dipercayai berhubung siasatan akhir berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan.

SPRM dalam satu kenyataan petang tadi mengesahkan Muhyiddin ditahan pada jam 1 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan pada jam 8.20 malam tadi.

Muhyiddin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok dan Mahkamah Shah Alam Isnin depan.

Ahli Parlimen Pagoh itu bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 10:17 PM
MUHYIDDIN hadir ke majlis Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Pusat Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar, Gombak. FOTO Hairul Anuar Rahim
MUHYIDDIN hadir ke majlis Solat Hajat Keselamatan Negara dan Solidariti Menentang Kezaliman di Pusat Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar, Gombak. FOTO Hairul Anuar Rahim