BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan kes salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Parti Bersatu berkaitan Projek Jana Wibawa yang membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara dalam membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwa raya selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Presiden Bersatu itu daripada empat pertuduhan berkenaan pada 15 Ogos tahun lalu.

Dua lagi hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M Komathy Suppiah.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu berkaitan Projek Jana Wibawa selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari yang sama.

Hakim Hadhariah dalam penghakimannya berkata hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan bahawa empat pertuduhan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan yang diketahui oleh undang-undang.

"Mengenai isu yang dibangkitkan oleh perayu (pendakwaan) bahawa pertuduhan tidak cacat, kami menerima penghujahan mereka. Pada pandangan kami, empat pertuduhan adalah ketara dan jelas.

"Oleh itu tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.

"Justeru, kami membenarkan rayuan bagi mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi. Kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk tindakan seterusnya," katanya.

Hakim berkata, Bersatu adalah sebuah pertubuhan politik di bawah takrifan persatuan mengikut Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Katanya, perayu berhujah pertubuhan politik itu termasuk dalam definisi organisasi, yang berada di bawah Seksyen yang sama.

"Kami setuju dengan hujah ini. Kami dapati tiada merit dalam hujah responden (Muhyiddin) bahawa oleh kerana pertubuhan itu tidak disebut dalam Seksyen berkenaan, oleh itu ia tidak boleh dimasukkan dalam definisi persatuan," katanya.

Beliau berkata pada pandangan mereka, maksud biasa organisasi ialah satu persatuan yang dibentuk bagi tujuan tertentu.

"Oleh kerana sebuah persatuan itu merupakan satu kumpulan yang ditubuhkan bagi tujuan tertentu, ia termasuk di bawah definisi sebuah organisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 4:40 PM