MAINJ menghantar satu treler bekalan makanan termasuk satu tan beras, 100 kilogram ayam dan 100 papan telur ke kawasan terjejas. FOTO ihsan MAINJ
MAINJ menghantar satu treler bekalan makanan termasuk satu tan beras, 100 kilogram ayam dan 100 papan telur ke kawasan terjejas. FOTO ihsan MAINJ
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ratusan penduduk Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong di Muar yang terputus hubungan akibat banjir mula menerima bekalan makanan yang diagihkan petang semalam.

Penduduk terperangkap, Nor Hazimah Husin, 46, berkata bekalan makanan yang diterima adalah agihan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang dihantar secara berperingkat menggunakan bot susulan laluan keluar masuk kampung berkenaan ditenggelami banjir sejak tujuh hari lalu.

"Alhamdulillah, selepas rayuan penduduk tular dan disiarkan media semalam, kami telah mendapat bekalan makanan disumbangkan MAINJ.

"Antara bekalan yang dihantar termasuk beras, ayam, telur selain lampin pakai buang.

"Terima kasih semua pihak terutama MAINJ yang prihatin dan segera menghantar bekalan makanan dan keperluan lain," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, MAINJ menerusi akaun Facebooknya memaklumkan sudah menghantar satu treler bekalan makanan ke kawasan terjejas di Pagoh, Muar terutama Kampung Bendar, menerusi hasil wang zakat umat Islam Johor.

Antara yang diagihkan MAINJ di kawasan itu membabitkan satu tan beras, 100 ekor ayam, 100 papan telur, lampin pakai buang serta keperluan lain untuk penduduk Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong, Muar.

Semalam media melaporkan, ratusan penduduk dari Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong, di Muar, terputus hubungan apabila laluan keluar masuk ke situ ditenggelami air bah.

Bagaimanapun kira-kira 60 rumah penduduk kampung itu tidak dinaiki air berikutan terletak di kawasan tinggi.

Laluan keluar masuk kampung berkenaan ke laluan utama menuju Bukit Kepong, FELDA Maokil dan Chaah, Segamat, yang berbukit menyebabkan ia ditenggelami air dalam dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 3:20 PM