KAMARUL Zaman (tengah) di sidang media berkenaan bah di IPD Segamat. FOTO Ahmad Ismail
KAMARUL Zaman (tengah) di sidang media berkenaan bah di IPD Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Banjir di Johor merekodkan empat kematian setakat ini dengan satu kes di daerah Kluang dan tiga lagi di Segamat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seorang wanita warga emas ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam longkang di Batu Anam, di sini kelmarin.

Mangsa, A Fatimah, 69, yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ditemui oleh jirannya yang menyedari kehilangan warga emas itu.

"Termasuk (kejadian pertama) di Kluang, empat orang telah meninggal dunia dan terbaru yang membabitkan seorang wanita warga emas berusia 69 tahun.

"Mangsa ditempatkan di PPS, bagaimanapun warga emas ini didapati tiada di PPS tersebut dan jirannya keluar mencari dan dijumpai meninggal dunia di longkang, "katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Segamat di sini, semalam.

Mengulas lanjut ujarnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkenaan sebelum ditemui lemas.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

"Mangsa mungkin terjatuh dan siasatan pihak polis akan diteruskan termasuk mengenalpasti kenapa mangsa ini keluar daripada PPS.

"Jadi saya harap bahawa semua mangsa yang ada masalah ataupun mereka yang terkepung oleh air dan sebagainya untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa kerana mana-mana agensi pun akan berusaha selamatkan mereka dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 2:20 PM