Keadaan di Bandar Kota Tinggi kembali seperti biasa selepas banjir surut ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
Keadaan di Bandar Kota Tinggi kembali seperti biasa selepas banjir surut ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor terus berkurang sehingga jam 8 pagi ini apabila kini mencatatkan 4,942 orang membabitkan 1,369 keluarga berbanding 5,022 orang daripada 1,398 keluarga pada jam 9 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir di enam daerah terjejas banjir di negeri ini kini masih ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi dan Johor Bahru semakin berkurangan, manakala jumlah mangsa banjir di Kluang, Segamat, Batu Pahat dan Pontian tidak berubah.

"Kota Tinggi kini mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 4,057 orang daripada 1,120 keluarga yang ditempatkan di 24 PPS berbanding malam tadi terdapat seramai 4,135 orang daripada 1,148 keluarga.

"Mangsa banjir di Johor Bahru juga menurun kepada 336 orang membabitkan 89 keluarga berbanding 338 mangsa daripada 90 keluarga malam tadi di tiga PPS yang masih beroperasi.

"Kluang tidak berubah dengan 350 mangsa daripada 102 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di tiga PPS; Segamat kekal 95 orang daripada 28 keluarga di tiga PPS; Batu Pahat dengan 87 mangsa daripada 26 keluarga di dua PPS, manakala Pontian masih 17 mangsa daripada empat keluarga di satu PPS," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran ribut petir di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, manakala amaran waspada iaitu hujan berterusan dikeluarkan di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka berlaku esok hingga Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 8:41 AM