LEMBU berkeliaran selepas kandangnya ditenggelami air di Kampung Sepakat Baru Skudai, Johor Bahru, semalam. FOTO ZAIN AHMED
LEMBU berkeliaran selepas kandangnya ditenggelami air di Kampung Sepakat Baru Skudai, Johor Bahru, semalam. FOTO ZAIN AHMED
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir di negeri ini meningkat mendadak kepada 5,818 mangsa daripada 1,540 keluarga dengan 56 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah, setakat jam 7.30 pagi ini.

Ia berbanding hanya seramai 1,780 mangsa daripada 500 keluarga dengan 28 PPS dibuka di lima daerah, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata tujuh daerah kini terjejas banjir di negeri ini dengan daerah paling terjejas ialah Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru diikuti Kulai, Batu Pahat, Mersing dan Pontian.

Beliau berkata, peningkatan paling ketara berlaku di Kluang apabila mencatatkan peningkatan PPS kepada 19 berbanding hanya 12, malam tadi.

Katanya, mangsa banjir di Kluang meningkat kepada 1,826 orang daripada 545 keluarga pagi ini berbanding 698 orang daripada 206 keluarga, malam tadi.

"Mangsa banjir di Kota Tinggi turut melonjak kepada 868 orang daripada 221 keluarga di 14 PPS, pagi ini berbanding hanya 286 orang daripada 66 keluarga di tujuh PPS, malam tadi.

"Johor juga melonjak dengan seramai 2,452 orang daripada 593 keluarga di 13 PPS, berbanding hanya 690 mangsa banjir di Johor Bahru daripada 189 keluarga ditempatkan di enam PPS, malam tadi.

"Begitu juga Kulai meningkat kepada 581 mangsa daripada 156 keluarga di lima PPS pagi ini berbanding hanya

seramai 99 mangsa banjir daripada 25 keluarga di dua PPS, malam tadi.

"Batu Pahat juga bertambah kepada 28 mangsa banjir daripada 10 keluarga di dua PPS pagi ini, berbanding hanya tujuh mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bulan, Yong Peng, malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi kelmarin itu menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air banjir berikutan sungai utama yang melimpah.

Paling teruk terjejas adalah di kawasan Skudai, di sini, apabila lebih 200 rumah di Kampung Jaya Sepakat dan Kampung Laut tenggelam sehingga ke bumbung berikutan limpahan air Sungai Skudai, sejak Jumaat lalu.

Banjir yang masuk hari ketiga hari ini turut mengorbankan nyawa seorang warga emas wanita, Halijah Majid,59, dari Kampung Contoh di Pekan Kahang, petang semalam, yang lemas selepas tergelincir ke dalam longkang besar di hadapan rumahnya ketika cuba keluar untuk ke PPS.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, dua daerah terbaharu terjejas banjir di Johor adalah Mersing dan Pontian.

Katanya, di Mersing 57 mangsa banjir dipindahkan daripada 14 keluarga di dua PPS manakala Pontian memindahkan enam sekeluarga di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, sejak lewat malam tadi.

Beliau berkata, rakyat Johor diminta terus berwaspada berikutan Jabatan Metereologi Malaysia masih mengeluarkan amaran cuaca buruk berwarna jingga dengan hujan lebat dijangka berterusan di kawasan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Kulai, Pontian, Mersing, Batu Pahat dan Segamat.

"Paras beberapa sungai di Tanjung Sedili, Kota Tinggi,Johor Bahru dan Kukup di Pontian juga dijangka meningkat jika hujan berterusan ditambah waktu air pasang tengah hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 8:37 AM