ANTARA kawasan yang dilanda banjir. Banjir di Johor kini menjejaskan tujuh daerah. FOTO ihsan JPAM
ANTARA kawasan yang dilanda banjir. Banjir di Johor kini menjejaskan tujuh daerah. FOTO ihsan JPAM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 6,248 orang daripada 1,628 keluarga di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, setakat 12 tengah hari ini.

Ia berbanding 5,818 mangsa daripada 1,540 keluarga, pagi tadi.

Sebanyak 10 laluan utama di negeri ini dinaiki air dengan tujuh daripadanya ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan paras air yang tinggi dan arus deras selain jambantan runtuh.

Tujuh jalan berkenaan adalah Jalan Sungai Sayong (Jambatan Sungai Sayong), Jalan Tun Sri Lanang dan Jalan Semanggar di Kota Tinggi serta Jalan Mawai Lama, Jalan Haji Suhud di Johor Bahru; Jalan Batu Pahat-Mersing di Kluang dan Jalan Batu Pahat-Kluang.

Sementara tiga laluan lagi hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Kluang-Mersing, Kluang (Kampung Contoh,Kahang) kerana tebing runtuh, selain dua lagi laluan masing-masing di

Jalan Batu Pahat-Kluang (Ladang Paloh) dan Jalan Batu Pahat-Kluang (SMK Kahang).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, mangsa banjir terjejas diminta berada di PPS berikutan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan di kebanyakan lokasi negeri ini.

Beliau berkata, Kluang masih daerah paling terjejas banjir dengan

mangsa bertambah kepada 1,867 daripada 557 keluarga di 19 PPS tengah hari ini,berbanding 1,826 mangsa daripada 545 keluarga, pagi tadi.

"Mangsa banjir di Kota Tinggi turut melonjak kepada 1,125 orang daripada 256 keluarga di 14 PPs berbanding hanya 868 orang daripada 221 keluarga, pagi tadi.

"Johor Bahru pula kekal dengan 2,452 orang daripada 593 keluarga di 13 PPS, berbanding hanya 690 mangsa banjir daripada 189 keluarga ditempatkan di enam PPS, malam tadi.

"Kulai kekal dengan 581 mangsa daripada 156 keluarga di lima PPS pagi ini berbanding hanya

seramai 99 mangsa banjir daripada 25 keluarga di dua PPS, malam tadi.

"Batu Pahat juga kekal dengan 28 mangsa banjir daripada 10 keluarga di dua PPS pagi ini, berbanding hanya tujuh mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bulan, Yong Peng, malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi kelmarin itu menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air banjir berikutan sungai utama yang melimpah.

Banjir yang masuk hari ketiga hari ini turut mengorbankan nyawa warga emas, Halijah Majid, 59, dari Kampung Contoh di Pekan Kahang, semalam, yang lemas selepas tergelincir ke dalam longkang besar di hadapan rumahnya.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, mangsa banjir di Mersing juga meningkat kepada 189 mangsa daripada 54 keluarga di dua PPS berbanding hanya 57 mangsa banjir daripada 14 keluarga, pagi tadi.

"Mangsa banjir di Pontian pula kekal dengan enam sekeluarga di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, sejak lewat malam tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 12:55 PM