FAHMI Fadzil menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Drama Cyber999 sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2023 di Angkasapuri hari ini. FOTO Bernama
FAHMI Fadzil menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Drama Cyber999 sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2023 di Angkasapuri hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak akan mengekang kebebasan pengamal media di negara ini untuk melaporkan berita.

Mentei Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun kebebasan itu seharusnya dimanfaatkan berlandaskan kepada syarat lesen dan undang-undang negara ini.

Beliau berkata perkara itu penting untuk dipatuhi semua pengamal media bagi mengelakkan penyebaran fitnah dan juga maklumat tidak sahih.

"Peringatan kepada semua pengamal media juga orang awam, kita (KKD) tidak kekang atau halang hak media untuk membuat sebarang laporan, hak media untuk menulis.

"Tapi kekangannya pertama ialah dari segi syarat terkandung di dalam lesen dan kedua adalah undang-undang sedia ada di negara ini yang perlu dipatuhi," katanya selepas melancarkan drama bersiri 26 episod bertajuk Cyber999 bagi siaran RTM di Angkasapuri di sini, tadi.

Media baru-baru ini melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka kertas siasatan terhadap stesen televisyen Awesome TV kerana kegagalan mematuhi peraturan lesen susulan satu laporan berita yang disifatkan sebagai tidak benar.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini, Fahmi berkata, beliau mengarahkan SKMM supaya memastikan capaian Internet yang baik di setiap pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, pemantauan rapi juga dibuat bagi mengenal pasti mana-mana menara telekomunikasi yang terkesan akibat banjir untuk segera dibaik pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 4:03 PM