LORI muatan minuman keras dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Benteng Covid-19 di kawasan tebing sungai, Sungai Lubuk Weston, Beaufort. FOTO Juwan Riduan
LORI muatan minuman keras dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Benteng Covid-19 di kawasan tebing sungai, Sungai Lubuk Weston, Beaufort. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras dan merampas sepucuk pistol dalam serbuan di kawasan tebing sungai di Sungai Lubuk Weston, Beaufort, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam serbuan jam 4.50 pagi itu, anggota dan pegawai PPM yang menjalankan Op Benteng Covid-19 turut menahan dua lelaki berusia 36 dan 48 tahun.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika diserbu, dua lelaki terbabit ditahan bersama lori berisi minuman keras.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan mendapati terdapat pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai.

"Semua minuman keras ini dipercayai cuba diseludup masuk dari Labuan ke Beaufort.

"Selain itu turut ditemui dan dirampas ialah sepucuk pistol revolver Smith & Wesson .38 berserta 13 butir peluru," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad berkata, turut disita sebuah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama wang tunai berjumlah RM8,759 dan wang tunai Singapura bernilai 100.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM150,492 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 Seksyen 8 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad menyeru orang awam supaya terus membantu dengan menyalurkan maklumat terutama membabitkan jenayah maritim kepada Pasukan Polis Marin untuk tindakan segera.

Katanya, pihak PPM juga amat berterima kasih kepada masyarakat yang sentiasa prihatin agar undang-undang sentiasa dipatuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 4:15 PM