ANTARA minuman keras bernilai lebih RM200,000 yang berjaya dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
ANTARA minuman keras bernilai lebih RM200,000 yang berjaya dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan

Beaufort: Cubaan dua rakan menyeludup minuman keras tidak bercukai dari Labuan berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi yang dijalankan di Pekan Menumbok, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, lelaki dan wanita berusia 40 dan 37 tahun itu ditahan bersama minuman keras bernilai lebih RM200,000.

Pegawai Pemerintah PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, ketika ditahan, pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan membawa kepada penemuan sejumlah minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai.

Katanya, semua minuman berkenaan disyaki diseludup ke Sabah dari Labuan tanpa melalui jalan yang diwartakan.

"Nilai minuman keras dan dua kenderaan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM210,594 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Tangkapan dan barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saidul Maruf berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Saidul maruf berkata, masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya diminta supaya terus membantu menyalurkan maklumat.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 4:21 PM