RAMPASAN minuman keras tidak bercukai di Sandakan. FOTO ihsan PPM
RAMPASAN minuman keras tidak bercukai di Sandakan. FOTO ihsan PPM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM100,000 dalam dua serbuan berasingan di Kudat dan Sandakan.

Serbuan di Sandakan pada 26 Mei itu membabitkan rampasan sebanyak 485 kotak minuman keras pelbagai jenama.

Menurut sumber, semua minuman keras ini di dalam lori dan siasatan awal mendapati tiada sesiapa berada di tempat kejadian.

"Seterusnya rampasan di Kudat pada 25 Mei lalu dan merampas sebanyak 48 kotak minuman keras bernilai RM7,921.

"Hasil pemeriksaan lanjut juga, tiada tangkapan dilakukan ke atas rampasan berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi hari ini mengesahkan rampasan berkenaan.

Katanya, rampasan ini membabitkan dua zon iaitu PPM Kudat dan Sandakan dan nilai keseluruhan rampasan ini berjumlah RM108,344.42.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk bersama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutama membabitkan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 12:38 PM