Lori rosak dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tanpa cukai di kawasan lapang Kampung Mikik, Papar. FOTO IHSAN PPM
Lori rosak dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tanpa cukai di kawasan lapang Kampung Mikik, Papar. FOTO IHSAN PPM
Juwan Riduan


Papar: Menyembunyikan minuman keras dan rokok di dalam lori yang rosak menjadi modus operandi penyeludup bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa.

Bagaimanapun helah itu gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 505 karton minuman keras dan 101 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM840,000 yang disembunyikan di dalam lori tanpa pemilik di kawasan lapang Kampung Mikik, di sini, kelmarin.

Rampasan kira-kira jam 7 malam itu dilakukan sepasukan anggota PPM Kota Kinabalu dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ketika menjalankan Op Landai Gelora.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya dengan JSJ membuat serbuan dan menemui sebuah lori kontena yang rosak dalam keadaan berkunci kendadu diletakkan di kawasan lapang tanpa pemilik.

"Pasukan serbuan membuat pemeriksaan dengan membuka menggunakan pemotong besi dan menemui sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.

"Rampasan iaitu membabitkan 505 karton minuman keras dan 101 kotak rokok pelbagai jenama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati lori rosak itu dipercayai digunakan untuk menyimpan minuman keras, rokok tanpa cukai sebelum dijual.

"Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM840,000. Semua minuman keras dan rokok dirampas dan dibawa ke Markas Operasi Kota Kinabalu untuk diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 2:52 PM