BUNGKUSAN plastik hitam berisi minuman keras yang disyaki dibawa dari Labuan. FOTO Ihsan PPM
BUNGKUSAN plastik hitam berisi minuman keras yang disyaki dibawa dari Labuan. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan


Beaufort: Tujuh lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dalam serbuan di kawasan tepi anak sungai di Menumbok, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 9 malam itu, semua suspek berusia antara 27 hingga 47 tahun ditahan anggota PPM Kota Kinabalu ketika sedang leka memunggah minuman keras di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, serbuan itu dilakukan selepas intipan terhadap beberapa individu di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika intipan didapati beberapa individu sedang melakukan aktiviti pemunggahan bungkusan plastik hitam dari bot ke kawasan darat.

"Hasil pemeriksaan menemui minuman keras pelbagai jenama sebanyak 150 karton dianggarkan bernilai RM15,000.

"Semua minuman keras itu dipercayai dibawa dari Labuan dan ketujuh-tujuh lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, turut dirampas sebuah bot menggunakan enjin 200 kuasa kuda (hp) dan tiga kenderaan.

Katanya, kenderaan dan minuman keras dianggarkan berjumlah hampir RM338,000.

"Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 9:20 AM