POLIS mengesan lori yang digunakan untuk membawa minuman keras disarat bersama muatan tepung gandum bagi mengaburi mata pihak berkuasa. FOTO Juwan Riduan
POLIS mengesan lori yang digunakan untuk membawa minuman keras disarat bersama muatan tepung gandum bagi mengaburi mata pihak berkuasa. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Labuan: Cubaan seorang lelaki menyeludup 350 karton minuman keras dengan menyembunyikannya di sebalik muatan tepung gandum gagal apabila perbuatannya berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan di Pekan Menumbok, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, lelaki berusia 38 tahun ditahan bersama lori yang dipandu selepas dikesan membawa minuman keras tidak bercukai masuk ke Sabah.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM, Inspektor Shafiq Rezza Rahim berkata, pihaknya yang bertindak atas maklumat melancarkan Op Terancang bagi mengekang kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil maklumat diterima, terdapat satu lori 10 tan dipercayai bergerak dari Labuan ke Menumbok dengan menaiki feri kenderaan.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebanyak 350 karton minuman keras disembunyikan bersama tepung gandum dalam kargo lori berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati semua minuman keras berkenaan tidak bercukai dan diseludup dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Shafiq berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM350,000 termasuk cukai.

"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 2:20 PM