Tanah terbiar akan dimajukan untuk projek tanaman makanan.
Tanah terbiar akan dimajukan untuk projek tanaman makanan.

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memajukan tanah terbiar milik masing-masing dengan keluasan sehingga 320 hektar untuk projek tanaman makanan.

Ia bagi membantu negara mengukuhkan aspek keterjaminan makanan terutama mendepani kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini, hanya 1.2 juta hektar tanah negara dimanfaatkan untuk tujuan penghasilan tanaman makanan berbanding 7 juta hektar bagi tanaman kelapa sawit dan getah.

Selain itu, kata beliau, Kementerian Pertahanan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta syarikat lain juga akan melaksanakan projek peningkatan pertanian bijirin jagung domestik.

Katanya, tanaman jagung bijirin adalah bahan utama dalam makanan haiwan khususnya ayam yang selama ini diimport.

"Selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, (usaha ini) memberi peluang kerjaya kepada veteran tentera.

"LTAT menyediakan 70 ekar (28 hektar) tanah perladangan untuk melaksanakan projek ini," katanya membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan menyediakan RM30 juta untuk bekerjasama dengan beberapa kerajaan negeri bagi melaksanakan projek agromakanan.

"Ini supaya ada hubungan langsung di antara syarikat dengan kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 6:41 PM