PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir. FOTO Mohd Amin Jalil
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri akan membuka kawasan baharu bagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan seluas kira-kira 40 hektar di Gemas, dekat sini, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Bakri Sawir berkata, projek itu bertujuan menggalakkan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan berskala besar menggunakan teknologi terkini.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada aktiviti tanaman sayur-sayuran, kontan dan napier.

"Usaha kerajaan negeri mewujudkan TKPM ini adalah bagi memenuhi keperluan rakyat tempatan mendapatkan bekalan bahan makanan yang mencukupi dan berkualiti.

"Melalui usaha ini, kita berharap ia dapat menampung permintaan tempatan sekali gus menjamin keterjaminan bahan makanan penduduk," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pembukaan kawasan baharu bagi tanaman padi juga sudah dikenal pasti di kawasan seluas 20 hektar di Kampung Londah, Gemas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang berkata, usaha sedang dilakukan bagi menyediakan sistem pengairan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

"Kita (kerajaan negeri) perlu menambah kawasan tanaman padi untuk memastikan keperluan beras bagi pasaran tempatan terjamin," katanya sambil memberitahu projek berkenaan akan dimulakan sebaik sistem pengairan disiapkan.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 1,000 hektar kawasan tanaman padi di Negeri Sembilan membabitkan Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Jelebu.

Bakri berkata, kerajaan negeri juga memberi tumpuan untuk memulih dan memajukan tanah terbiar.

"Sebelum ini terdapat lebih 2,000 hektar tanah sawah yang terbiar namun ketika ini ia tinggal sekitar 1,000 hektar selepas dipulih dan dimajukan dengan tanaman sesuai seperti jagung dan beberapa tanaman lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan atau gudang lama untuk melaksanakan projek pertanian menegak sebagai alternatif bagi menampung keperluan makanan.

Bagaimanapun, katanya, projek berkenaan bukan suatu keutamaan ketika ini namun akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Ia bukanlah kaedah baharu tetapi boleh difikirkan untuk dilaksanakan kerana ia popular di Singapura berikutan dapat menjimatkan ruang.

"Tanaman menegak ini biasanya membabitkan jenis sayuran bertingkat seperti sawi, bendi dan salad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 1:24 PM