MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggunakan alatan japper untuk menanam jagung bijirin di Kampung Dadong, Kemaman, Terengganu.
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggunakan alatan japper untuk menanam jagung bijirin di Kampung Dadong, Kemaman, Terengganu.
LADANG jagung bijirin yang telah mengeluarkan hasil.
LADANG jagung bijirin yang telah mengeluarkan hasil.
BENIH jagung GWG 888.
BENIH jagung GWG 888.
Mohamad Hussin

Jagung bijirin sejenis jagung yang ditanam untuk diproses menjadi makanan seperti minyak jagung, tepung, sirap dan makanan ternakan.

Buat masa ini, sebanyak 80 hingga 90 peratus jagung bijirin yang digunakan di negara ini diimport dari Argentina.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, data imbangan dagangan makanan pertanian tahun 2009 hingga 2015 menunjukkan aliran peningkatan bil import yang ketara.

Beliau berkata, pada tahun 2015, defisit imbangan dagangan makanan pertanian adalah sebanyak RM18.1 bilion.

“Nilai import makanan pertanian tahun 2015 sebanyak RM45.4 bilion sementara nilai eksport pula hanya RM27.3 bilion. Makanan ternakan menyumbang RM5.6 billion kepada nilai defisit berkenaan dengan jagung bijirin sahaja bernilai RM3.1 bilion bersamaan 4.14 juta tan metrik.

“Disebabkan kita terpaksa mengimport makanan ternakan, harga daging mentah keluaran tempatan juga akan turut dipengaruhi turun naik mata wang negara atas perkiraan kos makanan ternakan,” katanya.

Ahmad Zakaria berkata, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina sudah lama menanam jagung bijirin sama ada sebagai tanaman utama, selingan atau tanaman giliran (second crop).

“Malaysia seharusnya mula mengeluarkan makanan ternakan sendiri bagi menjamin industri ternakan. Iklim dan tanah kita sesuai untuk penanaman jagung.

Menurutnya, Jabatan Pertanian sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat pembiak bakaan tanaman iaitu Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) bagi membangunkan varieti jagung bijirin hibrid GWG 111, GWG 333, GWG 555 dan GWG 888.

“Ia mudah diurus dan menawarkan jaminan belian semula. Jagung bijirin ditanam pada kepadatan 53,333 pokok sehektar, jarak tanaman 0.75 meter x 0.25 meter.

“Masa tuaian ialah pada hari ke-110 penanaman di mana potensi hasil boleh mencapai lapan hingga 10 tan metrik/hektar,” katanya.

Beliau berkata, fokus Jabatan Pertanian adalah meningkatkan kadar guna tanah, sekali gus meningkatkan pendapatan petani.

“Oleh itu, model penanaman jagung bijirin sebagai tanaman giliran di kawasan tanah sawah sekali setahun telah dibentuk dengan menjadikan Kampung Dadong, Kemaman, Terengganu sebagai projek perintis.

“Projek ini akan berdaya maju jika hasil bijirin mencapai potensi lapan tan metrik/hektar dan harga jualan RM900/tan metrik,” katanya.

Ahmad Zakaria berkata, selain itu, kerajaan merangka pelan pelaksanaan awal projek penanaman jagung bijirin di kawasan tanah terbiar.

“Ia membabitkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Terengganu iaitu Rhu Tapai (20 hektar), Setiu (170 hektar) dan Marang (260 hektar).

“Chuping, Perlis (50 hektar), di Kedah membabitkan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) Bukit Tangga (20.23 hektar) dan Sik (32 hektar), MARDI Kluang, Johor (120 hektar) dan TKPM Titi Gantong, Perak (tujuh hektar),” katanya.

Katanya, jagung bijirin mempunyai potensi pasaran yang besar kerana pada masa ini negara bergantung sepenuhnya kepada jagung import.

“Jagung bijirin tempatan mempunyai kualiti lebih baik dan segar. Oleh itu, pengilang makanan ternakan sanggup menawarkan harga lebih tinggi berbanding jagung import.

“Kebanyakan jagung import berkualiti rendah kerana telah disimpan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum memasuki pasaran Malaysia.

“Pengeluaran jagung bijirin dalam negara dapat mengurangkan defisit imbangan dagangan dan seterusnya membuka peluang penjanaan kekayaan yang baru kepada penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 5:01 AM