Abdul Fattah menghadiri  Mesyuarat Agong Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad  (KENDALI) di Dewan UMNO di sini hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Abdul Fattah menghadiri Mesyuarat Agong Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (KENDALI) di Dewan UMNO di sini hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Lipis: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bercadang membangunkan tanaman jagung bijirin di kawasan berkeluasan 4,000 hektar di seluruh negara.

Presidennya Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha berskala besar itu diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijiran import bagi kegunaan makanan ayam dan ternakan haiwan ruminan.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) untuk mengenal pasti tanah terbiar dan membuat kajian kesesuaian tanah untuk melaksanakan projek itu.

"Industri tanaman jagung bijirin itu berpotensi tinggi kerana boleh menampung permintaan penternak ayam dan haiwan ruminan tempatan yang kini terpaksa bergantung kepada jagung bijirin import.

"Ketika ini, Malaysia mengimport sekitar empat juta tan jagung bernilai lebih RM7 bilion setiap tahun kerana memang tiada ladang komoditi itu berskala komersial besar di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agong Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad di sini, hari ini.

Beliau berkata, Angkasa mempunyai pengalaman mengusahakan tanaman jagung bijirin sejak 2018 lalu di Mukim Hosba, Kedah membabitkan tanah berkeluasan kira-kira 83 hektar dengan kerjasama Famox Plantation (M) Sdn Bhd.

Katanya, syarikat itu juga dipilih Mafi untuk bekerjasama dengan Angkasa bagi projek tanaman jagung bijirin itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 5:45 PM