Khairulmizan Yahya


Kuantan: Konsep unik 'makan sepuasnya, bayar seikhlasnya' buat golongan kurang berkemampuan apabila bersarapan di Restoran Dapur Infaq Ummah di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini, masih kekal bertahan sejak empat tahun lalu.

Pengasas Pertubuhan Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, dia bersyukur restoran berkenaan masih boleh meneruskan konsep amal walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19 dan kenaikan harga barang mentah ketika ini.

"Seperti kebanyakan restoran lain, kami juga tidak terlepas dengan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini.

"Jika sebelum PKP, memang restoran kami mendapat sambutan sangat menggalakkan, namun kini sambutan sedikit perlahan tetapi masih mampu bertahan dengan konsep ini," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, pihaknya tidak mengutamakan keuntungan, sebaliknya mahu membantu golongan kurang berkemampuan termasuk pelajar yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.

"Keuntungan yang diperoleh daripada restoran ini akan disalurkan untuk kerja kebajikan kepada golongan rentan yang menjadi agenda utama pertubuhan.

"Tiga kali seminggu kami akan mengagihkan kira-kira 300 bungkus makanan kepada golongan rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar," katanya.

Badrul berkata, restoran itu menyediakan menu roti tempayan dengan kuah kari ayam dan kambing, nasi lemak, dan pelbagai lagi menu untuk sarapan pagi.

"Pelanggan boleh makan sehingga kenyang dan membayar berapa sahaja yang dia mahu dengan cara memasukkan duit ke dalam tabung yang disediakan atau melalui aplikasi di telefon pintar.

"Restoran ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 11 pagi pada setiap hari kecuali Ahad," katanya.

Katanya, pihaknya kini membuka sebuah lagi restoran di medan selera Tahfiz Yayasan Pahang dekat Tanjung Lumpur sejak awal bulan ini.

"Restoran diberi nama Kafe Aokmer ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 11 pagi untuk sarapan pagi manakala dari 11 pagi hingga 3 petang untuk makan tengah hari.

"Untuk sarapan pagi, kita masih mengekalkan konsep sama iaitu boleh bayar seikhlas hati, namun pelanggan perlu bayar seperti biasa mengikut senarai harga yang ditetapkan bagi makan tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 7:15 AM
BADRUL Jamili Kamaruddin (kanan) bermesra dengan pelanggan di restorannya yang menggunakan konsep 'makan sepuasnya, bayar seikhlasnya'. FOTO Khairulmizan Yahya
BADRUL Jamili Kamaruddin (kanan) bermesra dengan pelanggan di restorannya yang menggunakan konsep 'makan sepuasnya, bayar seikhlasnya'. FOTO Khairulmizan Yahya