WAN Rosdy melawat Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara komuniti rentan Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar.
WAN Rosdy melawat Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara komuniti rentan Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar.
Mohd Rafi Mamat

Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.

Bagi membantu masyarakat yang terjejas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah Kuantan membangunkan projek tanaman cili fertigasi bersama golongan rentan di tengah bandar Kuantan, Pahang.

Projek yang diusahakan lima individu komuniti 'lorong' Wong Ah Jang itu adalah sebagai usaha bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan terbabit.

Ia mula dilaksanakan awal bulan lalu membabitkan 2,000 polibeg bagi memberi peluang golongan berkenaan berdikari sekali gus mengubah landskap kehidupan untuk melahirkan komuniti lebih baik.

Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, tapak Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara bagi komuniti rentan Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar adalah di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, Kuantan.

Kata Badrul, pihaknya tidak menyangka idea untuk membantu golongan rentan kawasan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri Pahang.

PROJEK penanaman itu membuka peluang pekerjaan kepada peserta yang berminat.
PROJEK penanaman itu membuka peluang pekerjaan kepada peserta yang berminat.

WAN Rosdy turut mencuba menanam cili bara.
WAN Rosdy turut mencuba menanam cili bara.

"Kerajaan negeri turut menyumbang pelbagai bentuk bantuan bagi projek terbabit.

"Selain itu, beberapa agensi dan NGO seperti Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Yayasan Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut membantu kami dalam melaksanakan projek berkenaan," katanya ketika ditemui ketika pada program lawatan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, baru-baru ini.

Menurut Badrul, projek penanaman itu membuka peluang pekerjaan kepada peserta yang berminat untuk mengubah sosioekonomi mereka ke arah yang lebih baik.

Katanya, peserta mampu meraih pendapatan lumayan hasil daripada projek berkenaan sekali gus memberi sinar kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

CILI bara mendapat permintaan ramai.
CILI bara mendapat permintaan ramai.

"Projek ini dijangka mengeluarkan hasil pertama pada akhir tahun ini, dianggarkan 600 kilogram cili dapat dihasilkan setiap bulan.

"Dengan pengeluaran hasil itu setiap peserta akan memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan," katanya.

Badrul berkata, projek penanaman cili itu akan diperluaskan sekiranya projek perintis yang membabitkan lima peserta berkenaan berjaya.

Katanya, latihan diberikan kepada peserta untuk menjadi seorang usahawan melalui projek fertigasi berkenaan.

"Sekiranya berjaya kelak, mereka boleh menjadi contoh kepada individu lain untuk melaksanakan projek sama di kawasan lain.

"Kami yakin lebih ramai golongan rentan berminat untuk menjadi usahawan tani selepas melihat kejayaan lima rakan mereka ini," katanya yang menyifatkan projek ini unik dan berbeza kerana lokasi penanaman cili ini terletak di tengah bandar raya Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 6:30 AM