SET hidangan The Cubano Sandwich bersama kopi latte.
SET hidangan The Cubano Sandwich bersama kopi latte.
Hidayatul Akmal Ahmad


Konsep ‘ready-to-go’ yang diketengahkan pemilik restoran Quartet, Azian Akhbar, 26, ternyata membuahkan hasil apabila menu di restorannya mendapat sambutan hangat pelanggan.

Bermula dengan cawangan pertama di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tiga tahun lalu, gadis itu melangkah setapak lagi apabila membuka cawangan kedua Quartet di pusat beli-belah Nu Sentral.

“Sebenarnya, cawangan ini baru saja beberapa bulan dibuka. Di Quartet, kami menyediakan menu ringkas seperti pelbagai jenis sandwic, kopi dan kek buatan sendiri.

“Sasaran utama saya adalah golongan sibuk bekerja yang tiada masa menyiapkan sarapan di rumah. Saya bernasib baik kerana lokasi ini dekat dengan pengangkutan awam seperti monorail, stesen transit aliran ringan (LRT) serta komuter yang memudahkan pelanggan singgah dan makan,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Menurutnya, ada kira-kira lapan jenis sandwic seperti tempala, mozacado, Cubano, egg florentine dan grilled cheese mushroom.

“Setiap sandwic yang dijual, dimasak menggunakan bahan segar dan bermutu tinggi. Saiz pula besar dan boleh berkongsi dengan rakan.

“Lazimnya pelanggan yang datang akan beli set sandwic bersama kopi yang sudah siap dibotolkan. Sebab itu kami buka jam 8 pagi kerana waktu ini adalah paling ‘molek’ untuk bersarapan,” katanya yang juga menerima tempahan bagi majlis tertentu.

Ditanya mengenai harga, Azian berkata ia sangat berpatutan, apatah lagi sandwic dijual menggunakan ramuan berkualiti dan segar.

“Kualiti dan kebersihan keutamaan kami. Setakat ini respons pelanggan sangat baik dan kami akan pastikan apa yang pelanggan bayar berbaloi dengan apa yang dimakan,” katanya yang kini mengadakan harga promosi sehingga hujung bulan ini yang mana pelanggan dapat jimat sehingga RM4.50 untuk set sarapan terpilih.

INFO:

Alamat: Cawangan Nu Sentra di Lot CC.04A, Aras Concourse, Nu Sentral Shopping Centre, KL.

Cawangan Taman Tun Dr Ismail di Lorong Datuk Sulaiman 7.

Waktu operasi: 8 pagi hingga 10 malam.

Laman web: www.quartetsupply.com

Facebook:Qaurtet TTDI.

Instragram: Quartetsupply

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:04 AM