Khairulmizan Yahya

Kuantan: Nasib komuniti rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar di sini, terus dibela apabila 1,000 juadah berbuka diagihkan secara percuma kepada mereka setiap hari.

Inisiatif itu dilaksanakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Pertubuhan Dapur Infaq Ummah (Dapur Infaq) menerusi Program Iftar Mahhabah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIPBahagian Operasi dan Baitulmal Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, Program Iftar Mahabbah kini masuk tahun ketiga ia dilaksanakan.

"Setiap tahun, MUIP memperuntukkan sebanyak RM80,000 disalurkan melalui Dapur Infaq bagi menyediakan juadah berbuka kepada golongan berkenaan.

"Walaupun mereka ini memang kita ada beri bantuan bulanan tetapi untuk Ramadan ini, kita sediakan juadah berbuka, sedikit sebanyak meringankan beban mereka," katanya pada pelancaran program terbabit di Jalam Wong Ah Jang di sini.

Turut hadir Pengasas Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Badrul Jamili Kamaruddin.

ASMADI (kiri) mengagihkan juadah berbuka puasa kepada komuniti rentan pada Program Iftr Mahabbah di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
ASMADI (kiri) mengagihkan juadah berbuka puasa kepada komuniti rentan pada Program Iftr Mahabbah di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya

Asmadi berkata, selain agihan makanan berbuka puasa, pihak MUIP juga menyediakan bantuan dalam bentuk barangan asasi yang akan diberikan kepada ketua isi rumah komuniti sekitar kawasan berkenaan.

sementara itu, Badrul berkata, selain program berkenaan, pelbagai program lain turut dilaksanakan untuk komuniti rentan di Surau Al-Hidayah di Lorong Wong Ah Jang yang disedia khas untuk komuniti di kawasan berkenaan.

"Kita memang ada imam khas di surau ini untuk memimpim solat termasuk tarawih selain guru untuk kendalikan pelbagai program bukan sahaja pada bulan puasa tetapi setiap hari sejak 2019 lagi.

"Selain itu, kita juga mengadakan kelas mengaji dua kali seminggu iaitu pad hari Selasa dan Jumaat khusus untuk anak-anak komuniti rentan di kawasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 11:47 AM