HIDANGAN istimewa menu itik masak lemak yang dihidangkan sekali-sekala pasti memberi kelainan.
HIDANGAN istimewa menu itik masak lemak yang dihidangkan sekali-sekala pasti memberi kelainan.
RUHANIZA dan suaminya bersama hidangan pelbagai menu tradisional Negeri Sembilan yang menyelerakan.
RUHANIZA dan suaminya bersama hidangan pelbagai menu tradisional Negeri Sembilan yang menyelerakan.
KONSEP ala kampung menjadi kelainan yang cuba ditonjolkan.
KONSEP ala kampung menjadi kelainan yang cuba ditonjolkan.
Oleh Ruhaiza Rusmin

Sehingga kini, masih terasa enak masakan tradisional Negeri Sembilan yang disajikan di Restoran Sambal Daun di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Bukan sekadar hidangan sambal daun yang menjadi menu wajib restoran itu malah menu lain seperti ikan keli salai lemak cili padi, daging salai, siput sedut dan telur itik lemak cili padi.

Pemilik Restoran Sambal Daun, Ruhaniza Razak berkata, pemilihan makanan tradisi Negeri Sembilan itu kerana ibu dan bapa mentuanya berasal dari negeri berkenaan.

Dia dan suaminya, Shaiful Azuan Sidek cuba mencipta kelainan dengan menampilkan hidangan tradisi negeri adat perpatih itu kerana ramai peminatnya di Lembah Klang.

"Hidangan yang kami sediakan beri peluang orang ramai merasai keenakan masakan asli Negeri Sembilan.

"Ibu mentua menyediakan segala resipi hidangan bagi menjamin kualiti dan keenakan masakan," katanya.

Lebih menarik kerana dekorasi restoran itu berkonsep ala kampung meskipun ia terletak di deretan rumah kedai.

Ukiran awan larat, pucuk rebung serta tingkap rumah lama menggamit pengunjung untuk merasai suasana desa.

"Walaupun Restoran Sambal Daun berada di deretan rumah kedai, namun kami cuba menyelitkan unsur tradisional dalam dekorasinya.

"Restoran ini bukan hanya mahu menghidangkan makanan tradisi, malah mengembalikan nostalgia pengunjung terhadap kampung halaman dengan suasana damai," katanya.

Restoran yang dibuka pada Oktober lalu turut menampilkan hidangan istimewa seperti itik salai, udang galah, daging rusa dan rendang ayam maman.

"Namun, hidangan itu hanya dimasak pada hari tertentu kerana beberapa faktor, antaranya kesukaran cara memasaknya serta kesukaran memperoleh bekalan," katanya.

Restoran Sambal Daun turut menghidangkan sarapan pagi seperti nasi lemak dan pelbagai kuih tradisional seperti apam kampung dibalut dengan daun rambai serta lempeng pisang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:03 AM