Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti isu hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh kementerian melalui tatacara perolehan darurat dari 2020 hingga 2022 boleh digunakan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata taklimat mengenai isu itu juga sudah disampaikan pegawai kementerian kepadanya, baru-baru ini.

"Mengenai isu ventilator itu, saya sudah dimaklumkan pegawai KKM menerusi taklimat. Kita ambil maklum isu ini dan akan lihat sama juga seperti perkara lain termasuk perolehan vaksin Covid-19.

"Ini kerana perolehan ventilator berkenaan diperolehi ketika darurat, di mana kita boleh lakukan pembaikan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, dilaporkan menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas pembelian 108 ventilator rosak yang menelan belanja kerajaan sebanyak RM13 juta.

Manakala Khamis lalu, Laporan Ketua Audit 2021 Siri 2 mendedahkan hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh Pharmaniaga Logistics untuk Kementerian Kesihatan dari 2020 hingga 2022 boleh digunakan.

Kerajaan dilaporkan tidak boleh menuntut RM13 juta yang dibelanjakan terhadap peralatan rosak itu kerana tiada perjanjian ditandatangani dengan Pharmaniaga, kerana perolehan dilakukan bawah "tatacara perolehan darurat."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 1:39 PM