Datuk Seri Dr Adham Baba. FOTO Arkib NSTP.
Datuk Seri Dr Adham Baba. FOTO Arkib NSTP.
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Pembelian 104 unit ventilator yang gagal berfungsi dibuat sewaktu bekas Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

"Memang semua sudah sedia maklum, ini (berlaku) di bawah... sewaktu menteri (kesihatan) Dr Adham Baba.

"Yang Berhormat (YB) KJ (Khairy Jamaluddin) pun sudah bagi kenyataan (menafikan perolehan peralatan ventilator) bukan dibuat ketika beliau menjawat jawatan berkenaan," katanya.

Untuk rekod, Dr Adham dilantik menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Kabinet Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020.

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan menyaksikan Dr Adham bertukar portfolio dengan Khairy yang ketika itu menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Berdasarkan hasil prosiding PAC setebal 120 muka surat yang dimuat naik di laman web Parlimen, Isnin lalu mendedahkan, 104 unit ventilator tidak dapat digunakan selain tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB).

Menurut PAC, ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 3:07 PM