KHAIRY Jamaludin Abu Bakar. FOTO Arkib NSTP
KHAIRY Jamaludin Abu Bakar. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menegaskan perolehan peralatan ventilator ketika negara berdepan pandemik Covid-19 bukan dibuat ketika beliau menjawat jawatan terbabit.

Sebaliknya, pembelian peralatan berkenaan dibuat oleh menteri sebelumnya pada tahun 2020.

"Untuk perolehan ventilator, ramai bijak pandai ini kata (saya) kena jawab soal ventilator dan perolehan ventilator ini (dibuat) pada tahun 2020, saya jadi Menteri Kesihatan pada Ogos 2021, 'even you cannot get the facts right, i don't even know why you're talking to me' (sedangkan fakta anda salah, saya tidak tahu kenapa perlu bercakap soal ini kepada saya).

"Bukan saya nak cakap saya campak menteri lain di bawah bas (menyalahkan menteri lain), tetapi ini adalah fakta, soal vaksin saya tak campak sesiapa di bawah bas, saya sedia bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian pada program podcast Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.

Laporan 'Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE)' yang dibentang PAC mendapati tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan 104 ventilator itu berfungsi.

Hasil prosiding PAC juga mendapati tiada perjanjian bertulis dimeterai antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), yang diarah untuk membuat pembayaran pendahuluan bagi mendapatkan ventilator.

Ketiadaan perjanjian bertulis di antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

PAC mendapati tiada kontrak digubal mengenai perolehan ventilator dan penasihat undang-undang KKM tidak dirujuk ketika proses penyediaan surat pelantikan, selain berlaku percanggahan keterangan di antara KKM dan PLSB berkaitan waranti bagi 136 unit ventilator.

PLSB hanya mengurus penghantaran alat itu ke fasiliti KKM, malah tidak menandatangani sebarang kontrak dengan pembekal dan semua dokumen pesanan pembelian serta dokumen sebut harga menunjukkan waranti ventilator adalah di antara Kerajaan Malaysia dan pembekal.

Laporan PAC turut mendedahkan sejumlah 8.5 juta dos vaksin Covid-19 bernilai RM505 juta sudah luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu dengan puncanya kerana sambutan yang rendah.

Isu lain terkandung dalam Laporan PAC ialah bekalan vaksin yang ditempah tidak diterima mengikut jadual susulan permintaan global yang sangat tinggi, selain lebihan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi penutup boot.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, isu berkaitan perolehan ventilator terbabit perlu ditanya kepada pihak yang bertanggungjawab ketika itu.

"Saya kena jelaskan, sama juga dengan PPE (peralatan perlindungan diri), perolehan dibuat sewaktu sebelum saya (jadi Menteri Kesihatan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 4:34 PM