Ahmad Hasbi

Seremban: Memiliki enam rekod jenayah termasuk satu rekod dikehendaki, seorang pemandu sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Seremban, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat tempat dia bekerja berjumlah RM14,000, Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Malek, 51, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu syarikat Khairi Bina Sdn Bhd menyalah gunakan harta milik syarikat iaitu wang RM14,000 yang diperoleh daripada sekeping cek yang sepatutnya untuk ditunaikan.

Namun tertuduh menggunakan wang itu untuk kegunaan peribadi.

Kesalahan dilakukan di pejabat syarikat itu di Jalan S2 C1, Green Technology Park, di sini, pada 10 Januari lalu.

MOHD Nazri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban. FOTO Azrul Edham
MOHD Nazri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban. FOTO Azrul Edham

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara paling minimum dari tarikh tangkap dengan mengambil kira pengakuan tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan tertuduh tidak jujur dan menyalahgunakan wang milik majikan tempatnya bekerja.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dengan dua sebatan selain denda sebanyak RM2,000 dan jika gagal bayar, boleh dipenjara selama lima bulan.

Untuk rekod, tertuduh mempunyai lima rekod jenayah membabitkan dadah dan masih dikehendaki bagi kesalahan bahan terlarang itu juga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 11:34 AM