Mohd Amin Jalil


Seremban: Bekas pemain import pasukan bola sepak Negeri Sembilan dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan invois palsu berjumlah RM48,879.91, dua bulan lalu.

Matheus Fernandes Vila Real, 28, warganegara Brazil dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Madihah Harullah, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Portugis.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 10 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menipu wakil pihak Bank CIMB dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa borang permohonan kiriman wang dan invois palsu yang dikemukakan untuk pembelian barangan dagangan iaitu 5,825 unit 'dye ink' bertarikh 23 September 2020 atas nama Wind Pacific Consulting Ltd adalah dokumen benar bagi tujuan permohonan untuk pindahan wang.

Berikutan itu tertuduh dengan sengaja mendorong pihak bank untuk meluluskan permohonan pindahan wang secara dalam talian dari akaun Bank CIMB milik tertuduh ke akaun Ambank milik Wind Pacific Consulting Ltd.

Perbuatan itu dilakukannya pada 30 September 2020 di Bank CIMB Cawangan Seremban.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya mengaku menyesal atas perbuatan dilakukan dan memohon maaf dengan alasan tidak memahami undang-undang dan prosedur pindahan wang di negara ini.

Pemain pertahanan skuad Liga Perdana Negeri Sembilan itu memberi alasan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tamat dan kini tidak mempunyai sumber pendapatan kerana tiada pekerjaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

TERTUDUH dikenakan hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
TERTUDUH dikenakan hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 1:33 PM