Ahmad Hasbi

Seremban: Lelaki warga Bangladesh dihukum 22 tahun penjara dan 15 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah melakukan sumbang mahram terhadap anak tiri perempuannya berusia 13 tahun sehingga melahirkan anak, tiga tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, 44 , selepas mendengar mitigasi pertuduhan dan hujahan pemberatan daripada pihak pendakwaan.

Surita ketika menjatuhkan hukuman memaklumkan, mahkamah mengambil kira faktor rayuan serta kepentingan awam dan berpendapat tidak boleh bertolak ansur dengan kes sumbang mahram.

Mengulas lanjut Surita berkata, tertuduh sepatutnya melindungi anak tirinya dan bukan mengambil kesempatan ke atas mangsa.

"Ia ditambah pula dengan faktor ibu kandung mangsa yang baru sahaja meninggal dunia ketika kejadian berlaku.

"Tindakan tertuduh umpama haruan makan anak yang meninggalkan kesan trauma dalam jangka masa panjang dan jangka masa pendek kepada mangsa," katanya.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan kira-kira 10.30 malam di sini, pada 15 Februari 2020.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

TERTUDUH (dua kiri) di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham
TERTUDUH (dua kiri) di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 3:50 PM