Ahmad Hasbi


Seremban: Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas 10 pertuduhan memperdaya dan menipu mangsa dalam urusan jual beli telefon bimbit berjumlah RM26,150 sejak tahun lalu.

Tertuduh, A Jegathis, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dia didakwa memperdaya sembilan mangsa untuk membuat pembayaran bagi pembelian pelbagai jenis telefon bimbit.

Tertuduh menunjukkan tangkap layar transaksi pindahan wang yang diubah suai yang menyebabkan mangsa menyerahkan telefon bimbit dengan nilai keseluruhan berjumlah RM22,850.

Perbuatan itu dilakukan antara 18 Disember 2021 hingga 22 Januari 2022 di pelbagai lokasi di daerah ini.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

JEGATHIS dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas 10 pertuduhan memperdaya dan menipu mangsa dalam urusan jual beli telefon bimbit. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
JEGATHIS dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas 10 pertuduhan memperdaya dan menipu mangsa dalam urusan jual beli telefon bimbit. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Selain itu, tertuduh didakwa menipu seorang wanita yang mempercayai tertuduh sudah membuat pembayaran RM3,300 ke dalam akaun banknya dengan menunjukkan tangkap layar transaksi pindahan wang yang diubah suai yang mana mangsa tidak akan menyerahkan telefon bimbit jenis iPhone 13 jika tidak diperdayakan.

Kesalahan itu dilakukan pada 17 Februari 2022 di Stesen Bas Terminal One Seremban.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Azizi Abdull Aziz merayu tertuduh diberi jaminan rendah atas alasan dia mempunyai 10 pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM26,500 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes 21 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 2:12 PM