Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak pilih kasih dalam menyalurkan bantuan banjir kepada mangsa terjejas di seluruh negara termasuk negeri di pantai timur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menyalurkan RM280 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebelum musim banjir bagi menyelaras bantuan kepada mangsa.

Katanya, beliau sendiri akan memantau penyaluran wang ihsan yang diselaraskan bersama jawatankuasa bencana peringkat daerah supaya tiada mangsa terlepas pandang daripada menerima manfaat itu.

"Wang ihsan saya akan pantau sebab janji kita sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing (mesti dapat bantuan) dan kita kenal pasti keluarga dan kawasan mana dijangka banjir atau selalu banjir.

"Maka peruntukan itu RM280 juta kita sudah dikhaskan umpamanya Nadma mengambil langkah proaktif menyalurkan bantuan lebih awal daripada musim banjir termasuk RM68 juta masing-masing di Kelantan dan Terengganu.

"Jadi kita tidak pilih kasih, cuma prasangka sering dilemparkan pada Nadma, tetapi bukan saya.

"Saya fikir dalam menangani masalah banjir dalam keadaan warna-warna politik khususnya di kawasan luar bandar yang terkesan daripada banjir, kita tetap akan lakukan koordinasi," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang-PN) mengenai status penyaluran bantuan wang ihsan RM1,000 kepada mangsa banjir yang masih belum terima.

AHMAD Zahid. FOTO arkib NSTP
AHMAD Zahid. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 12:48 PM