Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Umno bersedia menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu melepaskan jawatan masing-masing sebaik keputusan itu dibuat.

"Semua perwakilan sudah memberikan mandat kepada presiden, maknanya kita boleh menarik diri daripada kerajaan PN pada bila-bila masa jika mereka tidak ada indikasi untuk adakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

"Ada kemungkinan mereka akan memanjangkan waktu sehingga akhir penggal, kalau ini jadi keputusannya saya yakin MKT (Majlis Kerja Tertinggi), menteri, pengerusi GLC dan seluruh Ahli Parlimen akan akur dengan keputusan parti menarik diri daripada PN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan memberi bayangan bahawa partinya akan menarik diri daripada kerajaan PN pada Ogos ini.

Beliau menyeru semua ahli membulatkan tekad dan bersama-sama menguatkan parti agar mampu menawan semula hati rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Jika kita bersedia tarik diri Ogos, maka kita buat jangan main 'silat pulut'.

"Kita parti terbesar dan umpama gajah. Tapi apa guna jadi gajah kalau masuk hutan satu ranting pun tak patah. Gajah kalau masuk hutan, pokok pun tumbang dilanggar.

"Kalau nak langgar bulan lapan, kita langgar jangan acah-acah. Sekali kita melangkah jangan undur," katanya.

 AHMAD Zahid. FOTO ihsan Umno Online
AHMAD Zahid. FOTO ihsan Umno Online

Mohamad berkata, apa juga yang dirancang selepas ini adalah berlandaskan kepada tekad untuk memenangi PRU-15.

Menurutnya, beliau yakin Umno berupaya menubuhkan kerajaan dan menang dengan selesa walaupun bertanding secara sendiri atas tiket Barisan Nasional (BN).

"Jangan hidup mengharapkan belas ihsan orang. Kalau kita sentiasa minta belas ihsan maka kita tidak dapat membina kekuatan sendiri.

"Kita nak bawa Umno ke mana? Ye, putrajaya. Jadi kita kena bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 8:15 PM