Baharom Bakar


Kuala Nerus: Kerajaan akan teliti dakwaan segelintir mangsa banjir tidak tersenarai sebagai penerima bantuan Bantuan Wang Ihsan (BWI) walaupun sudah mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya nama mereka memang tercicir, kerajaan akan mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menggunakan peruntukan disalurkan kerajaan untuk diagihkan kepada mereka.

"Pegawai daerah yang juga pengerusi jawatankuasa bencana diminta meneliti semula senarai nama mangsa banjir yang tercicir daripada menerima bantuan.

"Nadma diminta untuk menyalurkan terus BWI kepada Ahli Dewan Undangan negeri (Adun)," katanya kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Ketua Umno bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

Terdahulu, kira-kira 102 mangsa banjir kecewa apabila nama mereka 'ghaib' daripada senarai penerima bantuan bertemu Ahmad Zahid dan menyerahkan surat rayuan berserta senarai nama mangsa.

Mangsa yang tinggal di Taman Permin Perdana Fasa Satu berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, selepas kediaman ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter.

Wakil kepada mangsa banjir, Mohd Yatim Hashim berkata, semua mangsa yang berpindah ke PPS sudah membuat pendaftaran seperti ditetapkan kerajaan.

Katanya, mangsa lain yang nama tersenarai sudah menerima BWI sebanyak RM3,500 setiap Ketua Isi Rumah (KIR) pada 15 dan 16 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 11:09 PM