DR Hamidah di depan kesan bangunan dibom dalam perang di Sahara Barat.
DR Hamidah di depan kesan bangunan dibom dalam perang di Sahara Barat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

PERWATAKAN yang lemah lembut membuatkan ramai tidak percaya wanita ini pernah menyarung celoreng tentera selama 10 tahun sebagai Pegawai Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kementerian Pertahanan Malaysia.

Namun, beliau memilih bersara awal untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan membuka klinik kulit serta estetik di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Meskipun tempoh perkhidmatannya tidak panjang, tetapi beliau berkesempatan menimba pelbagai pengalaman menarik yang kini menjadi kenangan indah sepanjang hayatnya.

Mejar (B) Dr Hamidah Mohd Salleh, 41, berkata, ketika tahun ketiga dalam perkhidmatan ATM, beliau terpilih menyertai misi United Nation (UN) Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) di Sahara Barat, Afrika selama enam bulan pada 2009.

Menurutnya, Sahara Barat adalah satu kawasan di Gurun Sahara yang belum menjadi sebuah negara, tetapi ada puak bertelagah antara Maghribi dengan Algeria.

"Kemelut ini memerlukan PBB ditempatkan di kawasan berkenaan. Tugas utama pasukan itu ialah menjaga kebajikan dan rawatan kepada kakitangan PBB serta tentera dari seluruh negara.

"Ketika membuat tinjauan bersama pasukan perubatan di kawasan gurun berkenaan, tiba-tiba dimaklumkan ada seorang wanita Arab Badwi yang tinggal dalam khemah hendak bersalin.

"Penduduk meminta doktor wanita dalam kalangan pasukan kami membantu wanita berkenaan. Saya sedikit panik kerana pasukan tidak membawa peralatan mencukupi," katanya.

Dia tidak menyangka proses bersalin wanita terbabit sangat mudah.

"Ada kejutan lain dalam situasi ini yang mana wanita Arab Badwi/Berber/Beduin hanya meminta air daripada kami untuk diminum dan membersihkan bayi yang dilahirkan.

"Sahara Barat adalah kawasan yang kering dan air menjadi keperluan mendesak kepada mereka," katanya.

PESARA tentera yang kini menjadi pakar kulit dan estetik.
PESARA tentera yang kini menjadi pakar kulit dan estetik.

Ibu tiga cahaya mata itu berkata, pemberian air itu membuatkan orang Arab Badwi terbabit sangat gembira.

"Mereka (orang Arab Badwi) membina penempatan mengikut aliran air dan mereka berpindah ke kawasan lain apabila aliran air itu sudah kering.

"Khemah yang mereka diami diperbuat daripada kulit unta dan tanah liat. Mekipun hidup kemiskinan, tetapi tetap meraikan tetamu dengan memberikan minuman air teh Maghribi.

"Hati saya sedih melihat wajah kanak-kanak di Sahara Barat yang mana kehidupan mereka sangat daif dan rutin harian hanya mencari air serta makanan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Hamidah berkata, pengalaman berhadapan ramai pesakit mengalami masalah kulit ketika bertugas di ATM mendorong minatnya menjadi pakar kulit dan estetik sejak 2017.

Jelasnya, sepanjang dalam bidang berkenaan beliau menyedari sukar menyedarkan wanita yang mahu kelihatan cantik tanpa merosakkan kulit mereka.

"Ini kerana ramai wanita mengambil mudah perkara itu yang obses dengan kecantikan dan kulit putih hingga sanggup memakai produk mengandungi bahan terlarang seperti merkuri.

"Kandungan bahan terlarang ini berbahaya kerana boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap kesihatan termasuk masalah buah pinggang.

"Mereka beranggapan kulit putih adalah cantik, manakala kulit hitam sebaliknya," katanya.

Menurutnya, langkah yang betul untuk kecantikan ialah mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.

"Langkah kedua ialah memakai krim pelindung matahari walaupun berada dalam rumah.

"Tetapi, kesedaran ini (memakai krim pelindung matahari) masih rendah kerana ramai lebih mengutamakan pemakaian krim pencerah kulit.

"Hakikatnya pemakaian krim pelindung matahari sangat penting, ia bertindak sebagai pelindung kulit daripada terkena sinaran ultraviolet (UV) secara terus daripada cahaya matahari yang kurang baik kepada kesihatan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi perkara ialah jangan terikut cara penjagaan wajah menerusi pembacaan di internet kerana tidak semua orang memiliki jenis kulit sama.

"Kesihatan kulit bergantung kepada cara pemakanan, hormon dan aktiviti seharian.

"Pada masa ini ada banyak lambakan produk kecantikan wajah yang murah dalam pasaran dan ramai berani mencubanya.

"Tindakan ini tidak bagus kerana penggunaan produk tidak sesuai boleh menyebabkan kulit rosak dan sukar pulih," katanya.

Katanya lagi, sekiranya berlaku sesuatu pelik pada kulit, jangan cuba merawatnya sendiri. Sebaliknya berjumpa pakar kulit bertauliah untuk rawatan lanjut.

"Dinasihatkan juga supaya tidak mendapatkan rawatan yang membabitkan jarum di pusat kecantikan kerana berisiko masalah lebih besar.

"Sekarang sudah ada kes jangkitan HIV disebabkan penggunaan jarum berulang di pusat kecantikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:01 AM