RONALDINHO beraksi dalam perlawanan amal untuk membantu mangsa banjir di kampung halamannya. FOTO AFP
RONALDINHO beraksi dalam perlawanan amal untuk membantu mangsa banjir di kampung halamannya. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Bekas Pemain bola sepak Brazil, Ronaldinho 'keluar dari persaraan' untuk beraksi dalam perlawanan amal bagi mengumpul dana kepada mereka yang terjejas akibat banjir besar di selatan negara itu.

Legenda Paris Saint Germain dan Barcelona itu menjaringkan dua gol dan satu bantuan jaringan dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 5-5 di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.

Ronaldinho, atau nama penuhnya Ronaldo de Assis Moreira, berasal dari negeri Rio Grande do Sul di Brazil, yang dilanda banjir berminggu-minggu sehingga mengorbankan lebih 160 orang dan menyebabkan 90 peratus bandarnya ditenggelami air.

Sebilangan besar bintang bola sepak Brazil berkumpul untuk perlawanan amal itu, termasuk jurulatih Dorival Junior dan bekas bek kanan Cafu.

"Ia mengharukan untuk melihat semua individu ini berkumpul untuk membantu penduduk saya," kata Ronaldinho.

"Selepas tragedi yang tidak dijangka ini, kami melihat rakyat Brazil bersatu semula," kata Junior.

Ronaldinho, 44, menjaringkan gol keempat dan kelima pasukannya, manakala Cafu turut menyerlah dengan satu gol dan satu bantuan jaringan.

Dia meninggalkan padang dengan 15 minit sebelum tamat, dengan mendapat tepukan gemuruh.

Bintang wanita turut mengambil bahagian dalam perlawanan itu, termasuk Formiga.

Bandar dan kawasan luar bandar di Rio Grande do Sul dilanda bencana selama berminggu-minggu disebabkan iklim yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu hujan lebat dan banjir yang membawa maut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 9:26 AM