Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghantar bantuan kepada mangsa banjir di negeri dilanda bencana itu perlu mendapatkan kebenaran Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan perlu dibuat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

"Mana-mana NGO yang ingin menyalurkan sumbangan perlu memuat turun borang permohonan di laman sesawang rasmi Nadma di www.nadma.gov.my.

"Borang permohonan itu kemudian dihantar melalui email ke JPBN atau JPBD berkenaan.

"Pihak terbabit akan mengeluarkan surat kebenaran yang boleh digunakan oleh NGO untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) oleh polis," katanya pada sidang media khas PKP/PKPB di sini, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, NGO digalakkan menumpukan aktiviti bantuan di kawasan berhampiran atau dalam negeri sama bagi mengurangkan pergerakan rentas negeri.

"Sebab ada NGO dari kawasan zon merah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahu masuk ke negeri banjir yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita faham akan keperluan itu (bantuan), kita memberi kebenaran tapi bagi mengawal tidak berlaku ramai yang pergi dan akhirnya menyebarkan virus Covid-19, maka Nadma mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) ketat supaya dapat mengawal jangkitan," katanya.

Justeru, katanya, adalah lebih baik sumbangan itu disalurkan kepada NGO di negeri berkenaan bagi memudahkan bantuan diagihkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:30 PM