ARWAH Nabil Mentor terkenal dengan peribadi mulia ‘pergi’ selamanya akibat serangan jantung.
ARWAH Nabil Mentor terkenal dengan peribadi mulia ‘pergi’ selamanya akibat serangan jantung.
Norhayati Nordin


Tahun depan genap 20 tahun Allahyarham Nabil Zamanhuri atau lebih dikenali sebagai Nabil Mentor, 37, menceburi karier seni sejak bakat nyanyiannya diketengahkan dalam program realiti Mentor musim pertama pada 2005.

Bagaimanapun, bapa dua anak perempuan ini difahamkan bekerja di Unit Pembangunan Kandungan Bahasa Melayu Astro sejak lima tahun lalu dan kini terbabit dengan program The Hardest Singing Show (THSS).

Namun, pada pagi semalam industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita sedih berkaitan 'pemergian' Nabil yang meninggal dunia di rumahnya di Bukit Indah Ampang, Selangor akibat serangan jantung.

Penyanyi, Ayu Damit, 36, mengakui terkejut dimaklumkan berita kematian Nabil yang ditemuinya semula kira-kira empat tahun lalu ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) pada 2020.

"Kami pernah merakamkan lagu duet, Janji Kita pada 2009 untuk album pertama saya, Inspirasi. Masih ingat ketika itu sekitar 2008 selepas menjuarai One in a Million musim kedua (OIAM2), saya ditanya nak duet dengan siapa?

"Pada masa itu, arwah Nabil pula tengah popular dan saya cakap nak berduet dengan dia. Tapi, sayangnya tiada rezeki lagu duet (Janji Kita) kami mendapat tempat di hati pendengar," katanya.

Ayu berkata, arwah Nabil dikenalinya adalah seorang yang sangat baik, mudah mesra dan percakapan juga lemah lembut. Jadi, macam tak percaya dia kini tiada dan sudah kembali kepada Sang Pencipta.

"Terkejut sangat apabila dapat tahu Nabil dah tak ada (meninggal dunia). Ingat lagi, masa kami berjumpa di GV7 dulu, dia (arwah) yang tegur dan kami mengingati semula pengalaman bekerjasama untuk lagu Janji Kita.

ALLAHYARHAM Nabil bersama isteri dan anak.
ALLAHYARHAM Nabil bersama isteri dan anak.

"Arwah ada kata dengan saya, sayang lagu duet yang kami rakam itu tak naik dan saya cakap, biasalah tiada rezeki. Tapi, boleh dikatakan kami ada jumpa setiap minggu ketika GV7 itu.

"Dia orangnya 'happy go lucky', gelak saja apabila ada buat 'content' macam 'prank' antara peserta GV7. Senang juga selama bekerja dengan arwah ketika itu. Saya mohon doakan dan sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Nabil. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah," katanya.

Bagi bapa arwah, Zamanhuri Kamarudin, 64, pula berkata, dia reda dengan kematian anaknya itu, namun memerlukan masa untuk tenang berikutan apa yang berlaku dalam keluarganya amat mengejutkan dan secara tiba-tiba.

"Pemergian selamanya arwah anak saya, satu kehilangan besar dalam keluarga. Apatah lagi, saya dan arwah (Nabil) sangat rapat terutama apabila kami berkongsi banyak perkara mengenai keluarga, kerja, kehidupan dan sebagainya.

"Biasalah apabila anak sudah besar dan berkeluarga, hubungan antara bapa dengan anak itu dah jadi macam kawan baik juga. Kami boleh berkongsi banyak cerita dan rahsia bersama. Sekarang dia dah tak ada, pergi tinggalkan saya selamanya.

"Arwah muda lagi, kalau tengok usia yang 'emas' ini, saya yang dah 64 tahun ini sepatutnya 'pergi' dulu. Namun, Allah lebih mengetahui dan saya reda, kena kuat semangat dan bersabar dengan ujian hebat ini," katanya.

Sebelum ini dalam karier nyanyian, arwah Nabil pernah menyertai program pencarian bakat, Mentor TV3 di bawah bimbingan 'mentor' penyanyi Datuk Nora Ariffin dan menyandang gelaran naib juara.

Allahyarham juga pernah menghasilkan satu album, Dari Jauh pada 2006 dan antara single nyanyiannya seperti Hati Ini, Hey Emma, Dari Jauh, Beku, Selangkah (OST Aladdin) dan Kenangan Lama (OST drama Ijab Kabut).

Dalam lakonan pula, arwah Nabil pernah membintangi drama Seribu Erti pada 2007, Kerana Kirana 2 (2008), Kamelia Katrina (2009) dan Ijab Kabut (2022), selain filem Aladdin dan Boboiboy Movie 2 sebagai Kapten Kaizo (2019).

Allahyarham bertemu jodoh dengan wanita pilihan, Adelia Citra Hapsari pada 2014, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aluna Calista, 7, dan Stara kini berusia tiga tahun.

Jenazah Allahyarham Nabil yang dibawa ke Hospital Ampang dari rumahnya sebelum dibawa ke Masjid Ukay Perdana untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas Asar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:16 AM