USAH kecewa andai peroleh keputusan di luar jangkaan, sebaliknya masih ada peluang melanjutkan pengajian berdasarkan kecenderungan.
USAH kecewa andai peroleh keputusan di luar jangkaan, sebaliknya masih ada peluang melanjutkan pengajian berdasarkan kecenderungan.

HARI ini menjadi hari paling bersejarah buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana keputusan peperiksaan penting itu diumumkan.

Pastinya pelbagai reaksi diperlihatkan sama ada gembira, terkesima, terkejut, tidak percaya atau kecewa.

Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang pastinya ucapan tahniah mewarnai hari anda.

Namun, buat yang kurang berjaya atau memperoleh keputusan di luar jangkaan, jangan kecewa atau berputus asa kerana ia bukan penamat hidup anda!

Masih ada peluang anda untuk melanjutkan pengajian yang diimpikan atau menambah ilmu kemahiran berdasarkan kecenderungan anda.

Berikut dikongsikan informasi beberapa destinasi pengajian lepasan SPM dan tentunya ia menjadi hala tuju kerjaya masing-masing.

1. Pengajian di universiti awam (UA)

Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM sudah pasti memilih universiti tempatan dan luar negara sebagai destinasi pengajian mereka.

2. Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Sekiranya tidak berjaya mendapat tempat dalam program Asasi melalui Unit Pusat Universiti (UPU), pelajar masih boleh menyambung pengajian asas di kolej matrikulasi dalam bidang sains hayat, sains fizikal atau perakaunan.

Selepas tamat program matrikulasi, anda boleh membuat permohonan untuk lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf di mana anda boleh memilih kursus pengajian ke program ijazah sarjana muda di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Politeknik Premier.

3. Pengajian di universiti swasta atau kolej swasta

Kini banyak universiti atau kolej swasta setara UA dan lebih penting mendapat pengiktirafan Daftar Kelayakan Malaysia (MQA).

Malah ada juga kolej swasta yang menawarkan program diploma bersekutu dengan UA di Malaysia.

4. Pengajian luar negara

Bagi pelajar yang mendapat tajaan biasiswa boleh melanjutkan pengajian mereka di luar negara.

United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (USA), Australia, New Zealand, Indonesia, India, Jepun, Korea, Perancis, Russia, Ireland dan Kanada antara negara yang menjadi pilihan bagi pelajar Malaysia.

Malah pelajar juga berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah (Jordan dan Mesir).

5. Politeknik

Di politeknik, anda boleh mengikuti program di peringkat sijil atau diploma.

Ada tiga jenis politeknik di Malaysia iaitu Politeknik Premier, Konvensional dan Metro.

Politeknik ada menawarkan pengajian sepenuh masa dan separa masa. Program sepenuh masa termasuk sarjana muda, program diploma, pradiploma politeknik dan Sijil Kemahiran Khas.

6. Institusi Pendidikan Mara (Ipma) di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara)

Ipma adalah institusi pendidikan dan latihan yang menawarkan pengajian berasaskan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja profesional mampu berdikari memenuhi peluang pekerjaan kerajaan mahupun swasta.

Selain itu, penubuhan Giatmara pula bertujuan menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada belia di luar bandar dan dalam bandar.

7. Institusi berasaskan kemahiran

Institusi Latihan Kemahiran Awam (Ilka) Di Malaysia turut menyenaraikan beberapa institusi kemahiran termasuk Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dan Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP).

8. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) \

TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Ia bertujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang tertentu.

Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

Kini lebih daripada 500 institusi TVET awam menawarkan pelbagai program TVET bagi semua peringkat pendidikan.

9. Kolej komuniti

Kolej ini menjadi institusi yang menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat dan memberi peluang pendidikan kepada lepasan menengah sebelum ke pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

10. Tingkatan enam

Ramai pelajar lepasan SPM menjadikan tingkatan enam sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM dan menduduki STPM.

Biasanya pelajar lepasan STPM diberi keutamaan berbanding pelajar lepasan diploma dan matrikulasi.

11. Institut Pendidikan Guru (IPG)

Bagi yang berminat menceburi bidang perguruan boleh cuba mengikuti pengajian di sini.

Kerjaya sebagai guru membolehkan anda berbakti kepada anak bangsa sendiri kelak.

12. Kursus ketenteraan

Bagi yang berminat dengan aktiviti lasak dan tahan dengan cabaran fizikal cukup mencabar, anda mungkin boleh memohon mengikuti pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

13. Maritim

Anda yang berminat dengan dunia pekerjaan laut yang mencabar, mungkin boleh mohon kemasukan ke Akademi Laut Malaysia (Alam).

14. Kursus penerbangan

Kursus ini merangkumi kerjaya seperti juruterbang, pramugara, pramugari dan ahli biasa di kawasan lapangan penerbangan.

Biasanya kerjaya seperti juruterbang, pramugara dan pramugari ini lebih kepada tugasan di awan biru manakala ahli biasa lebih kepada proses teknikal di kawasan lapangan penerbangan.

15. Latihan separa perubatan

Ia satu program yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pelajar lepasan SPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:02 AM