Armizan Mohd Ali.
Armizan Mohd Ali.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan bencana banjir di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, untuk bencana, ia akan dihantar dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Menurutnya, peruntukan juga sudah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan kemudian ke negeri untuk persiapan awal.

"Selain peruntukan asas, sekiranya berlaku bencana, peruntukan tambahan akan disalurkan.

"Penyaluran bantuan kepada mangsa yang terjejas seperti bantuan wang ihsan untuk setiap Ketua Isi Rumah (KIR) sebanyak RM1,000 dan bantuan RM10,000 sekiranya berlaku kematian akan diberikan selepas menerima laporan daripada Pusat Pengurusan Bencana Daerah," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) hari ini.

Mengulas mengenai penilaian kerugian mangsa banjir, beliau berkata, kerajaan masih lagi membuat penilaian terhadap jumlah kerugian mangsa banjir seluruh negara berikutan ketika ini, negara masih dalam tempoh Monsun Timur Laut 2022-2023 (MTL) hingga Mac depan.

"Penilaian kerugian selalunya akan dilihat apabila MTL berakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 1:12 PM