SADIAH Bakar. FOTO Husain Jahit
SADIAH Bakar. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: "Arwah seorang yang rajin ke masjid. Boleh katakan setiap waktu dia akan ke masjid yang tak jauh dari rumah. Mak cik pun selalu ikut arwah pak cik ke masjid. Cuma kadang-kadang mak cik tak ikutlah," kata Sadiah Bakar, 72, isteri kepada Allahyarham Abnil Hajar Ismail, 72 jemaah haji Malaysia pertama meninggal di sini, Jumaat lalu.

"Arwah seorang yang pendiam dan tak banyak cakap. Orang Tabung Haji bagi tahu dia dah tak dak. Masa dia bagi tahu, mak cik tak tau nak kata apa. Kawan-kawan sebilik pakat pegang mak cik," katanya saat menerima berita pemergian Allahyarham.

Sadiah yang berasal dari Kubang Pasu, Kedah, berkahwin dengan Allahyarham pada umur 18 tahun, dikurniakan empat orang cahaya mata dan lapan orang cucu.

"Cucu pertama baru saja kahwin. Semasa nak datang arwah tunjuk perangai biasa aja. Mak cik buat kenduri doa selamat, dia seronok tengok anak cucu balik semua berkumpul. Kawan-kawan pun ramai datang," katanya.

Bercerita lagi mengenai Allahyarham, dengan nada perlahan, beliau berkata, Allahyarham seorang yang pendiam, tak banyak cakap dan tidak mempunyai sebarang penyakit kecuali darah tinggi.

"Kencing manis pun dia tak dak," katanya lagi.

Kali terakhir Sadiah berjumpa dengan Allahyarham ialah di Klinik Maktab sehari sebelum pemergiannya kerana suaminya ada mengadu lenguh-lenguh badan.

"Pagi tu dia cakap lenguh habis satu badan," tambahnya.

Itulah kali terakhir mak cik bersamanya, apabila arwah dibawa ke hospital dengan ambulans mak cik tidak dibenarkan bersama pak cik lagi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Fadh pada Jumaat bersamaan 24 Mei 2024.

Allahyarham Abnil dan Sadiah terbang ke Madinah menaiki penerbangan KT03 sebelum ke Makkah dan tinggal di Maktab 79, Hotel Land Premium di Makkah.

Mengenai perancangannya apabila pulang ke tanah air nanti, Sadiah berkata, dia akan tinggal bersama salah seorang anaknya.

Dua orang anaknya tinggal di Kuala Lumpur, seorang di Perak dan seorang di Kedah.

AL-AMIN Jaminon. FOTO Husain Jahit
AL-AMIN Jaminon. FOTO Husain Jahit

Sementara, Pengurus Maktab 79, Al-Amin Jaminon berkata, beliau mendapat tahu kes ini menerusi Masyariq bahawa ada jemaah Malaysia masuk hospital di Arab Saudi dan diletakkan di zon merah.

"Tidak sampai lima minit saya dimaklumkan ada jemaah meninggal dan saya jadi terkedu. Sebelum sembahyang Jumaat saya sendiri jumpa di klinik, saya salam tangan dia, usap-usap peha dia dan saya cakap pada dia tuan haji kena kuat."

"Saya doakan tuan haji insya-Allah sihat seperti biasa untuk tunaikan ibadat. Jadi waktu itu saya perasan dia masih ingat saya dan kemudian saya serahkan pada pihak klinik untuk dibawa ke hospital Arab Saudi," katanya lagi.

Menurut Al Amin, kematian Allahyarham dimaklumkan kepada waris di tanah air selepas mendapat pengesahan daripada Pegawai Perhubungan Pelanggan hospital, iaitu wakil yang menghubungkan pihak hospital dan masyariq.

"Selepas saya dapat tahu pemergiannya, apa yang saya buat saya tenang dulu dan saya tidak boleh terus maklumkan kepada pihak waris. Proses pengecaman dan pengurusan jenazah dilakukan dengan begitu pantas oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

"Ia berlaku dengan begitu mudah dan dalam 4 pagi semuanya sudah selesai untuk terus dibawa ke Masjidilharam untuk disembahyangkan selepas solat Subuh. Selepas selesai jenazah dibawa ke tanah perkuburan Assyaria dengan ditemani petugas TH dan saya minta beliau mengambil gambar dan video sebanyak mungkin sebagai tatapan waris di tanah air," katanya lagi.

Menurut Al-Amin, beliau berterima kasih kepada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mempermudahkan proses pengebumian.

"Untuk makluman juga Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman ada membuat kunjungan terhadap waris di bilik beliau bersama panel syariah (pegawai TH) berkaitan ibadah haji dan prosesnya," katanya.

Ada perkara dikongsikan seperti fadilat kematian pada hari Jumaat, di Makkah, dan perkara-perkara berkaitan faedah serta proses haji dan juga urusan berkaitan dengan khairat kematian.

"Ada yang kita serahkan kepada beliau dan ada juga akan diserahkan di Malaysia. Kita juga adakan tahlil ringkas untuk Allahyarham," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:50 AM