PEMANDU van persendirian Thailand bukan hanya mengambil pelanggan perjalanan jauh, malah mengambil pelanggan ke destinasi dekat. - Gambar NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMANDU van persendirian Thailand bukan hanya mengambil pelanggan perjalanan jauh, malah mengambil pelanggan ke destinasi dekat. - Gambar NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Rantau Panjang: Pemandu van persendirian Thailand atau lebih dikenali sebagai roktu kembali aktif mengambil penumpang sehingga menjejaskan pendapatan pemandu kereta sewa tempatan.

Pemandu van persendirian ini mengambil penumpang dari negaranya sebelum dibawa ke beberapa destinasi termasuk dalam negeri Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan sebagainya.

Tindakan ini menyebabkan pemandu kereta sewa tempatan di sekitar Rantau Panjang semakin tersepit apabila mereka tak dapat mencari makan kerana tiada penumpang.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Rantau Panjang mendapati roktu aktif waktu petang apabila lebih lima van kelihatan membawa penumpang atau menurunkan penumpang di sekitar bandar ini.

Berbanding pada waktu pagi hingga tengah hari hanya beberapa van sahaja keluar masuk.

Pemandu kereta sewa, Yatim Mustapa, 57, berkata, pendapatannya sebagai pemandu teksi semakin teruk selepas perkhidmatan van penumpang negara jiran kembali aktif selepas musim Covid-19.

SEBAHAGIAN pemandu kereta sewa terpaksa tidur dalam kenderaan semata-mata mahu mendapatkan penumpang ketika ditemui di Rantau Panjang. Pendapatan mereka sebagai pemandu semakin teruk selepas perkhidmatan van penumpang negara jiran kembali aktif  membawa penumpang.
SEBAHAGIAN pemandu kereta sewa terpaksa tidur dalam kenderaan semata-mata mahu mendapatkan penumpang ketika ditemui di Rantau Panjang. Pendapatan mereka sebagai pemandu semakin teruk selepas perkhidmatan van penumpang negara jiran kembali aktif membawa penumpang.

Katanya, mereka tanpa rasa takut membawa penumpang penuh satu van sebelum menghantar mereka ke destinasi masing-masing termasuk dalam Kelantan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan sebagainya.

"Jika mereka menghantar penumpang ke lokasi jauh iaitu Kuala Lumpur, kami tidak kisah kerana kereta sewa kami tidak dapat hendak ke sana.

"Mereka ini seolah-olah mahu sapu semua apabila mengambil penumpang yang dalam jarak dekat.

"Perkara ini membuatkan pendapatan saya dan rakan-rakan terjejas teruk," katanya ketika ditemui di Rantau Panjang.

Bapa empat anak itu berkata, van penumpang itu aktif pada waktu petang kerana lebih 10 buah van masuk ke bandar ini sama ada membawa penumpang atau menurunkan penumpang di sini.

Pemandu kereta sewa, Wahid Abdul Rashid, 65, berkata, sebelum ini terdapat 40 pemandu kereta sewa, namun kini tinggal 25 orang sahaja.

Katanya, ini berikutan keadaan semasa terutama pendapatan terjejas teruk menyebabkan beberapa kereta sewa sahaja keluar setiap hari.

"Kira-kira 10 kereta sewa sahaja keluar setiap hari dan biasanya kami hanya dapat empat hingga enam penumpang sahaja.

"Itu pun dapat satu perjalanan sahaja dengan pendapatan antara RM20 hingga RM60.

"Selepas ditolak minyak, kos membaik pulih dan bayaran lain berapa sahaja baki tinggal," katanya.

Menurutnya, terdapat juga pemandu kereta sewa terpaksa tidur dalam kereta semata-mata mahu mendapatkan penumpang lebih awal, namun sehingga jam 10 pagi belum ada penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.

"Kebanyakan kami datang ke stesen antara jam 4 hingga 6 pagi, namun ada yang balik dengan tangan kosong.

"Sedangkan kami ada keluarga termasuk anak-anak dan isteri yang perlu diberi makan," katanya.

Pemandu kereta sewa, Mohd Izani Hussin, 57, yang berpengalaman lebih 20 tahun berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

"Jika perkara ini berterusan kemungkinan industri kereta sewa negara akan pupus berikutan tidak dapat mencari makan untuk keluarga.

"Isu ini tiada kesudahan dan nasib kami sama seperti sebelum ini.

"Walaupun sukar mendapat penumpang, namun kami tiada pilihan kerana hanya ini pekerjaan yang kami mampu lakukan untuk sara keluarga," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:59 AM