SERAMAI 2,253 terima skrol sempena Majlis Konvokesyen ke-33 dalam majlis disempurnakan Raja Muda Kedah.
SERAMAI 2,253 terima skrol sempena Majlis Konvokesyen ke-33 dalam majlis disempurnakan Raja Muda Kedah.
Norzamira Che Noh


Seramai 2,253 graduan dari 128 program pengajian menerima skrol pengajian masing-masing pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-33 yang berlangsung di Dewan Canselor MSU di sini.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata majlis yang melibatkan empat sidang selama dua hari itu menyaksikan 25 graduan menerima jazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (42), Sarjana Muda (1,285) dan Diploma (901).

Faculty of Information Sciences and Engineering (FISE) adalah fakulti yang melahirkan graduan dengan bilangan program terbanyak iaitu 30 program pengajian manakala Faculty of Business Management and Professional Studies (FBMP) pula menyumbang kepada bilangan kohort graduan terbesar iaitu seramai 838 graduan.

"Turut diraikan kohort graduan sulung bagi program Master in Fashion Business, Master in International Business, Bachelor in Takaful (Hons); Bachelor of Product Design (Hons); Bachelor in Broadcasting (Hons) dan Bachelor in Airline Services Management (Hons)," katanya.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan adalah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang juga Canselor MSU Turut hadir, Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid serta pengurusan kanan universiti.

Mohd Shukri berkata, lima kategori anugerah khas keemerlangan diberikan kepada 59 graduan yang bakal menerima hadiah sumbangan Yayasan MSU iaitu plak, wang tunai serta biasiswa bagi menyambung pengajian di MSU.

"Mereka adalah penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Wiksa Virijo Vicheet (Bachelor in Nutrition (Hons); Anugerah Presiden, Lenny Juvena Azmi (Master in Business Administration); Kow Ee Vone (Bachelor in Industrial Management (Hons) dan Wan Nor Athirah Wan Nor Azam, (Diploma in Culinary Arts) serta Mohd Shukri Yajid Outstanding Award diberikan kepada Farhanis Alisya Farizal (Bachelor in Psychology (Hons).

"28 graduan lagi menerima Anugerah Akademik dan 26 graduan menerima Anugerah Industri," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata selaku antara universiti terbaik di Malaysia, Asia Tenggara, Asia serta global, MSU menawaran program pengajian berkualiti untuk melahirkan graduan kompeten, seimbang dan holistik serta dilengkapi kemahiran insaniah dan ilmu teknikal, selain mempunyai jaringan kepintaran sosial yang menyeluruh.

"Berdasarkan kajian komprensif oleh Talentbank melalui Indeks Kebolehpasaran Graduan (Talentbank GE Index 2024), MSU diktiraf sebagai antara universiti pilihan majikan terkemuka di Malaysia apabila disenaraikan dalam kalangan Employer Choice University 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:01 AM